NAJWAN | Diari Lelaki: My Story : Teruskan mencari!

Friday, October 4, 2013

My Story : Teruskan mencari!



Hari Jumaat barakah menyapa lagi. Alhamdulillah dikurniakan pengalaman yang berharga pada setiap detik di dunia ini. Sungguh Allah itu Maha Penyayang.

Nak dijadikan cerita, selepas selesai majlis konvokesyen Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun 2010 lepas, saya diberi peluang oleh Allah untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang guru di sebuah sekolah sukan di Pahang. Terima kasih juga kepada kedua mak ayah yang tercinta atas doa yang tidak putus-putus untuk anak mereka.

Walaupun hanya 3 bulan mengajar di sana, tetapi pengalaman itu yang paling menarik.
Saya diamanahkan untuk mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam tingkatan 1,2 dan 4. Pada mulanya agak kekok untuk menyesuaikan diri dengan situasi orang bekerja. Tambah pula dengan berada dalam golongan tenaga pengajar hebat-hebat. Yang menariknya, semua perasaan takut, kekok, 'nervous' itu hilang sedikit demi sedikit kerana minat untuk menyampaikan ilmu kepada anak bangsa itu makin membuak-buak.

Mentaliti segelintir masyarakat sekarang, bila ditugaskan untuk mengajar kelas paling 'corot' sekali, itulah perkara paling bosan untuk dilakukan. 'Mereka dah tak boleh buat apa-apa dah,' 'Mengeja pun tidak reti, ini kan pula nak menulis.' Banyak komentar yang diungkapkan. Bagi saya yang masih mentah dalam bidang ini, saya cuba untuk mengambil pendekatan yang berbeza. Menjadikan mereka yang berada di kelas 'corot' ini sebagai teman berbicara. Sebagaimana saya menginginkan seorang yang hebat dan terkenal, melayan saya di majlis yang disertai oleh ramai orang ternama. Pasti kita mahu penghargaan, dan bukan disisihkan.

Oleh itu, kelas pertama saya dimulakan dengan sesi ta'aruf ringkas, pendekatan yang santai digunakan. Alhamdulillah impak positif mula dirasai. Bak kata orang dulu-dulu, 'tak kenal maka tak cinta.' Cara dan kaedah yang sama turut dipraktikkan bila mana saya mengajar di kelas yang seterusnya. Walaubagaimanapun, masih ada segelintir yang kurang senang. Tapi, jangan putus asa, masih banyak jalan yang belum saya terajui untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju. Destinasi untuk mengeratkan hubungan antara pelajar dan guru.

Di samping itu, ada banyak kelas yang saya mahu lawati untuk menyebarkan ideologi, 'berteman-teman dahulu, insyaAllah seterusnya akan dikurniakan ilmu dan pengalaman.' Bila mana saya punya waktu kosong daripada kelas, sering saya turun ke bilik kaunseling sekolah itu untuk berehat. Yang menarik minat saya untuk terus ke bilik kaunseling tersebut adalah kerana bilik itu merupakan tempat atau lokasi utama pelajar-pelajar sekolah lepak dan berjumpa dengan guru kaunseling. 'Peluang di depan mata ni,' bisikku di dalam hati. Hari demi hari, makin ramai anak didik yang menjadi teman saya untuk berkongsi pengalaman. Mereka pun berkongsi pengalaman mereka. Rupanya mereka sangat seronok bila berdiskusi perihal diri mereka. Ilmu baru yang saya peroleh pada hari tersebut, manusia ini suka bercerita mengenai diri mereka. Hanya di sekolah sahaja, boleh ber'networking' dengan baik. Sungguh peluang itu ada di mana-mana. Alhamdulillah.

Sangat banyak pengalaman jika ingin diceritakan. Apa pun, dunia ini amat luas, jangan kita sempitkan dengan pemikiran kita. Banyak cara untuk berjaya dan terus bermotivasi untuk terus hidup dengan gembira. Saya amat berharap agar dikurniakan individu atau kelompok manusia yang mempunyai pemikiran yang sama untuk berdiskusi dan bertukar-tukar pendapat. Mencari, mencari dan terus mencari. Tidak salah goyang kaki jika aktif 'online'. 'Networking' itu ada di mana-mana. Didoakan hidup kita diberkati Allah dan diberi rezeki olehNya... :)

Lebih menarik lagi di Motivasi Hati... (^,^)

2 comments:

Syira Lokman said...

terjah sini ^_^

wanmin92 said...

Ops,, jangan terseliuh ketika menerjah ^,^v