NAJWAN | Diari Lelaki: Teman Rapat

Friday, May 22, 2015

Teman Rapat

"...perjalanan hidup itu indah jika kita meletakkan semua pengharapan kepada Allah."

14 April 2015

Tepat jam 11.45 malam, aku duduk di penjuru kiri meja makan di dapur rumah ku. Bukan menanti makan malam dihidangkan, tetapi mengambil masa untuk bersendirian. Berbekalkan potongan buah pie, aku mengunyah sambil menulis apa yang terlintas di hati. Oh ya, menulis ini juga merupakan cara untuk aku "berbual" dengan sahabat paling rapat dengan aku ; diri aku sendiri.


Sunyi, hanya bunyi deruan motor peti sejuk sahaja kedengaran malam ini. Awal sungguh hayat malam kampung yang ku cintai. Barangkali sudah menjadi tradisi penduduk di kampung ku untuk bangun di awal pagi. Aku? Aku seperti biasa. Waktu begini aku masih aktif berlari. Mengejar diri aku yang sudah lama aku tercari-cari.

Ya, sukar sebenarnya untuk aku carinya sendiri. Tetapi, apakan daya, aku masih belum dikurnia seorang "teman" untuk berada di sisi.

 Bila bicara soal teman, sudah pasti aku mahu punya teman. Siapa yang mahu hidup keseorangan selama-lamanya? Pasti tidak ada.

Permintaan aku mudah, aku cuma mahu teman yang kenal diri aku yang dahulu dan diri yang bakal beliau kenali suatu masa nanti. Aku tidak meletakkan syarat yang terlampau tinggi. Aku tidak melihat wang, aku tidak melihat pangkat, dan apa-apa lagi yang aku rasa tidak perlu untuk kebahagiaan ukhrawi. Apa yang aku mahu, hanyalah penerimaan yang ikhlas daripadanya. Sebesar mana pun kekurangan aku, dia boleh melihatnya perkara itu sebagai kelebihan yang sukar dicari ganti.

Dan, aku tahu agak mustahil untuk mencari yang sebegitu. Kerana yang ramai sekarang ini hanya mereka yang ikhlas di alam maya, tetapi apabila berada di luar, ikhlasnya itu terhakis dengan kebenaran dunia realiti. Oh, walaubagaimanapun, tidak semua begitu. Ada sahaja yang baik. Cuma mungkin, mungkin aku belum bertemu dengan mereka.

Baik, selesai bicara mengenai teman. Bagaimana pula dengan diri anda wahai pembaca setia? Aku cuma menulis, tetapi kamu yang menilai apa yang tertulis di depan mata. Aku doakan kamu dikurnia teman yang menepati kehendak hati kecilmu.

12.20 p.m.

Selesai aku menulis. Tenang sebentar jiwa ini selepas berbual dengan diri sendiri. Paling kurang, aku tidak terlalu terbeban dengan kekosongan hari ku tanpa sapaan mana-mana orang yang ku kenal. Begitulah hidup seorang yang punya sebab dan mengapa dia melakukan sesuatu perkara.
Terkadang, sebab itulah membatasi keadaan dirinya sendiri. Baik, aku hentikannya di sini. Aku tahu pasti tidak ada seorang pun yang mengerti.

 Oh ya, sebelum aku menoktahkan tuliskan, aku baru jumpa 1 cara untuk aku kendali rasa "kosong" dalam diri, iaitu dengan memotong & memakan buah.

Haha. Sampai jumpa lagi, wassalam :)

No comments: