NAJWAN | Diari Lelaki: Cerita Semalam

Friday, May 22, 2015

Cerita Semalam

romantik? Haha... (tak da perasaan)~~

Seronok melihat pasangan sedondon yang diberi nama Menara Berkembar Petronas ini. Berdiri sama tinggi, rupanya indah membuatkan ramai iri hati, pinggangnya ramping bagai mawar berduri. Cukup-cukup indah rupanya hidup berpasang-pasangan dan berfamili.

Seperti biasa, aku mengeluarkan peluh di petang hari. Menikmati nikmat tubuh badan yang masih digelar rezeki, sebelum ianya lumpuh dijengah mati.
Alhamdulillah. Seusai berlari satu pusingan mengelilingi taman tasik, aku sambung menikmati suasana dengan berjalan kaki. Mata cukup liar melihat ragam manusia di waktu ingin tenggelamnya mentari. Sungguh, dengan memerhati sahaja, pasti banyak perkara yang boleh dipelajari.

Ada yang berniaga demi mencari sesuap nasi, ada yang bersenam untuk menjaga kesihatan diri, ada yang berdating memuaskan nafsu hati, dan lain-lain lagi. Aku tidak menduga mereka secara sesuka hati. Masing-masing punya hidup sendiri. Dari jauh aku hanya mendoakan agar mereka peroleh apa yang dicari.

Aku? Berjalan-jalan. Di kiri ku tasik, di kanan ku pasangan yang sedang asyik.
Pada mulanya agak pelik, tetapi aku percaya pasangan perempuannya pasti sudah selesai dirisik. Baik. Aku teruskan kembara ku.

Wah, matahari sepertinya ingin mengucapkan selamat pergi . Tanda siang hari akan meninggalkan bumi, dan malam akan datang bersama mimpi. Jarang sekali aku berpeluang menikmati detik tenggelamnya matahari. Orang kata, ianya indah dan sangat romantik, tetapi bagi aku, ianya penh misteri. Entah mengapa, tetapi itu apa yang aku rasai.

Baiklah, di sini sahaja celoteh petang ku. Jarang sekali aku menulis tulisan berbentuk begini. Didoakan agar apa yang ku coretkan ini, mudah difahami kalian.

Oh, terima kasih kerana sudi meluangkan masa. :)

No comments: