NAJWAN | Diari Lelaki: Potret - Mengenali Diri

Tuesday, May 26, 2015

Potret - Mengenali Diri


0650

Entah mengapa aku tiba-tiba berminat ingin mendengar lagu melayu bertajuk 'Potret' yang dinyanyikan Akim AF & The Majistret. Kisahnya, semalam aku terdengar lagu ini didendangkan oleh seorang kawan di ruang Instagram. Setelah lama dihalakan telinga kepada lagu ini, sedap juga rupanya. Tambahan pula, memang suara kawan aku itu sedap pun. Jadi tidak kisahlah aku pun turut rasa mahu 'nyanyi'.


Baik, selesai dengan intro. Hari ini aku mahu menulis perkara yang ringan-ringan sahaja. Sebenarnya, semalam aku tertanya-tanya kepada diri aku beberapa persoalan. Lebih tepat lagi, persoalan ini dilemparkan tepat pada masa yang sama aku melihat video rakaman daripada kawan aku ini. Persoalan yang bermain dalam minda aku semalam adalah, benarkah aku sudah mengenali diri aku? Atau aku sekadar memberanikan diri untuk menerima pembohongan palsu yang diterapkan orang disekeliling?

Aku melihat orang yang yakin dengan kebolehan diri ini, mereka adalah golongan yang memupuk kebolehan mereka ke arah jalan hidup yang ingin dituju. Sungguh cantik dan simple. Contoh, jika mahu jadi penyanyi, pastikan orang disekeliling tahu, dan lebih baik lagi, tunjukkan kepada mereka minat dan kebolehan kita. Ya, kawan aku itu melakukan kesemua perkara ini. Aku cukup bangga dengan orang yang bijak menguruskan kebolehan mereka. Mereka tidak rasa perbuatan itu salah, mereka tidak ragu-ragu, mereka tidak kisah. Sekali lagi, aku mempersoalkan diri aku, adakah aku sebegitu? Sudahkah aku jumpa kebolehan diri aku?

Agak rumit untuk menerangkan perkara begini walaupun kepada diri sendiri. Adakah perlu kita mengenali diri? Aku melihat orang disekeliling aku sepertinya mereka tidak kisah sama ada mereka kenal atau pun tidak. Mereka gembira sahaja. Tetapi aku tidak. Aku masih mencari dan aku kira sudah lama dan sudah jauh permusafiran aku mencari diri aku yang sebenar. Aku fikir, dahulu aku sudah bertemu dengan 'dia' (diri aku), tetapi entah, mungkin ianya hanya ilusi. Aku kerap mengingatkan orang lain agar cari keunikan yang ada dalam diri mereka. Tetapi, aku? Mungkin masanya belum tiba.

Walaubagaimanapun, baru-baru ini aku mendapati bahawa aku mempunyai corak pemahaman dan cara penggunaan 'logik' yang agak berbeza dengan orang lain. Contohnya, orang lain mendengar lagu untuk berseronok, tetapi aku mendengar lagu untuk fokus melakukan sesuatu seperti menulis, menunggang motosikal, drive kereta, dan sebagainya. Bagi aku, lagu ini boleh jadi perakam memori dan menguatkan daya fokus dalam diri aku. Mungkin perkara ini juga terjadi kepada anda. Tidak mengapa. Kita serupa!

Aku boleh kenal kebolehan orang disekeliling aku dengan hanya meluangkan masa selama satu sesi bersama mereka. Face to face. Aku boleh tahu 'pahlawan' apa yang terkubur dalam diri mereka. Dan aku tidak berniat ingin terus menggali lubang dalam diri mereka, malah aku mahu membangunkan diri mereka yang sebenar. Aku tahu bagaimana cara ingin mencungkil kebolehan mereka. Sepertimana yang aku tulis di atas, aku cuma perlukan satu sesi, aku dan seorang prospek, dan soalan-soalan yang spot-on aku tujukan tanpa ada skrip. InsyaAllah, paling teruk pun, jika prospek itu tidak mengenali diri mereka, aku tahu yang aku sudah 'discover' di mana diri mereka sepatutnya berada. Dan sudah pasti, cara-cara untuk mereka menambahbaik darah pahlawan yang ada dalam diri mereka.

Aku tidak mahu orang menduga aku atas berapa banyak kali aku berhasil menemui kebolehan dalam diri orang lain, tetapi, aku mahu mereka melihat akan betapa sikitnya kegagalan aku dalam melakukannya.

Baik, aku kira aku hentikan di sini sahaja tulisan pada kali ini. Tulisan yang santai-santai sahaja. Aku mahu menolong orang disekeliling aku, terutama jika mereka ada masalah yang aku ada keupayaan untuk menyelesaikannya. Hadirlah ke dalam hidup ku, insyaAllah aku akan tolong engkau sebaik-baiknya. I promise! Aku tidak mahu orang lain mengulangi kesalahan yang sudah aku lakukan dahulu. Aku lebih banyak menuturkan perkongsian berbentuk pengalaman berbanding daripada perkongsian yang aku peroleh daripada buku teks jalanan. Jadi, terserah.

0730

Terima kasih kerana membaca, dan hingga jumpa lagi :)

No comments: