NAJWAN | Diari Lelaki: Dunia & Keluarga

Friday, December 26, 2014

Dunia & Keluarga

my house is just behind the Temerloh sign

26 Disember 2014

Aku masih disini, mereput di dalam bilik. Mengelamun mengimbau detik dan tika mana mereka dikampung bersusah payah memunggah barang. Aku mahu tolong. Paling tidak pun, aku mahu berada disana bersama mereka. Tetapi, apakan daya, 30 Disember merupakan tarikh kertas pertama peperiksaan akhir ku.

Baiklah, aku mengambil jalan untuk tidak ke meja peperiksaan,
tetapi melangkah pulang mengharung deruan deras sungai dikampung. Iya, pasti ada keburukan dan kebaikannya. Pasti ibu ku mahu aku terus menjawab peperiksaan, agar nanti tiada masalah dalam pembelajaran ku. Tetapi, apa yang ibu ku tidak tahu, aku ini tidak kuat untuk membiarkan beliau berdua bersama ayah di sana. Aku rela mengorbankan pembelajaran walau sekadar ingin menebas semak dibelakang rumah.

Aku tahu mungkin langkah yang aku ambil ini punya terlalu banyak risiko yang mendatang. Tetapi, biarlah. Hidup ini aturan Allah. Dia sudah tahu apa yang aku ingin lakukan sebelum aku melakukan sesuatu. Aku harap pilihan aku ini tepat. Jika tidak, tidak apa, aku cuba untuk 'cover' semula selagi aku masih hidup.

Perumpamaan Malaysia & Palestin

Aku terlihat ada seorang hamba yang menyamakan keadaan Malaysia sekarang, ibarat Palestin. Lebih spesifik lagi, kita kena contohi pelajar Palestin di UIA (contoh terdekat) yang terus belajar walaupun keluarga, sanak saudara, rakan tika remaja mereka di sana, sedang diserang tentera. Bagus analogi ini untuk diterapkan kepada kita.

Tetapi aku terpaksa menyuarakan perbezaan pendapat ku terhadap kenyataan tersebut. Aku ulang, aku bukanlah orang yang kuat jika perkara itu melibatkan keluarga. Apatah lagi musibah sebegitu. Aku tahu sahabat-sahabat Palestin di sini amat sedih dengan keadaan keluarga mereka di sana. Tetapi, musibah digelar banjir ini, yang berlaku sekarang, merupakan banjir yang aneh yang masih belum lagi aku hadapi (sejak 22 tahun lahir) bersama keluarga. Aku tidak kuat untuk menahan diri agar tetap teguh dihadapan buku, di bilik mahallah UIA. Aku harus pulang untuk bersama mereka.

Tepat jam 9.30 malam, aku masih menunggu abang sulung ku untuk kami bersama-sama pulang ke tanah lahirnya diri kami. Tunggu ibu, tunggu ayah. 3 orang anak kalian tidak akan pernah melupakan kalian berdua.

"Allah itu sentiasa ada. Ujian didatangkan untuk menghapus dosa, jadi usah risau dan terus mencari pahala."

No comments: