NAJWAN | Diari Lelaki: Pengalaman Sebagai Usahawan Muda

Monday, September 2, 2013

Pengalaman Sebagai Usahawan Muda


Hari 1

Berkumpul di tangga besar selepas selesai memunggah barang-barang untuk digunakan sepanjang 3 hari berprogram. Letih, panas dan dahaga amat terasa. Tepat jam 10.15 malam, 2 buah bas persiaran 'Meteor Travel' memasuki pagar utama kampus. Kami bersama-sama memunggah barang-barang yang diletakkan berhampiran tangga besar untuk disusun di dalam bas. Perjalanan ke pantai timur bermula tepat jam 10.42 malam.


Tempat duduk paling hadapan menjadi rumah ku sepanjang perjalanan menuju ke Terengganu. Cadangnya untuk menjadi penonton kelas pertama jika tuan pemandu memainkan DVD di dalam bas. Malangnya disebabkan beberapa faktor, wayang yang ditayangkan terpaksa ditutup. Menghormati penumpang-penumpang lain mungkin. Apapun, masih ada wayang semulajadi yang lebih indah untuk dilihat dan dihayati. Wayang agung ciptaan Yang Maha Hebat.

Perjalanan yang mengambil masa selama 6 jam amat memenatkan. Walau bagaimanapun, sarapan pagi dan pembekal tenaga telah dihidang oleh pihak Hotel Seri Malaysia, tempat penginapan kami sepanjang 3 hari berprogram. Enak, puas dan menjilat jari menjadi jawapan apabila ditanya rakan mengenai menu pada hari tersebut.

Sesudah selesai memunggah barang masuk ke dalam Dewan Muara 2, kami dihidangkan pula dengan ucapan daripada pihak urusetia dan seterusnya para 'vip' yang dijemput khas oleh pihak universiti untuk berkongsi ilmu mereka bersama kami. Perasaan seronok tergambar di muka para peserta walaupun badan dilanda keletihan dan mengantuk. Di tambah pula dengan keadaan diri yang masih belum bertemu air dan sabun untuk dibersihkan. Senyum dan sabar, sungguh indah tarbiyah program mengajar cara bekerja seperti baginda Nabi S.A.W.

Pengenalan program disampaikan oleh wakil daripada TEKUN, AGROBANK dan FAMA. Sungguh banyak isi yang dapat menjadi catatan. Harapnya agar segala isi tersebut dapat dipraktikkan untuk memajukan diri. Masih banyak yang perlu dipelajari.

Waktu malam kami dihidangkan pula dengan perkongsian daripada Datuk Azlina, seorang usahawan yang berjaya, yang mahukan anak Melayu menjadi hebat dan berani mengambil cabaran. Alhamdulillah, dimurahkan rezeki oleh Allah, RM50 menjadi hadiah kepada kedua-dua peserta program atas keberanian mereka menyahut cabaran beliau. Terima kasih Datuk.

Hari 2

Keesokan harinya, program puncak kami bakal bermula. Semua peserta sudah mengenakan pakaian merah hitam, bersedia untuk berperang di sekitar Kuala Terengganu. Barang-barang yang perlu dijual sudah dikemas rapi di dalam beg. Setiap kumpulan yang terdiri daripada 8 orang ahli bergerak dan memulakan hari mereka untuk mencarian pengalaman baru. Lokasi yang cukup terkenal dan menjadi tarikan setiap sahabat usahawan adalah Pasar Payang, Perhentian Bas MPKT dan Pantai Buruk.

Bersama-sama merancang strategi, target untuk mendapat pengalaman baru dan memori, di samping mencapai untung dan jualan yang paling tinggi. Itulah perkara yang amat dititikberatkan oleh setiap kumpulan usahawan muda. Bagi kumpulan kami, setiap pengalaman dianugerahkan, diwarnai dengan suka dan duka berniaga. Macam-macam ragam yang kami hadapi. Sungguh, berbeza hasilnya daripada sekadar angguk dan faham teori dengan mempraktikkan segala teori dalam dunia realiti. Malu, putus asa, kecewa sentiasa bermain di minda. Tetapi jika diikutkan perasaan negatif, pasti tiada hasil yang kami bakal peroleh. Oleh itu, masing-masing memainkan peranan untuk membangkitkan semangat ahli kumpulan. Ada yang bergurau dengan ahli kumpulan bersama pelanggan, ada yang belanja minum, ada yang menyokong daripada belakang dan macam-macam. Sebab itulah, jika mahu memulakan perniagaan, kita mesti ada 'partner'. Jangan sesekali kita berseorangan. Ingatlah bagaimana baginda Nabi S.A.W. kita berniaga, baginda bekerjasama dengan pemodal baginda iaitu Saidatina Khadijah. Teladani dan contohilah cara Nabi berniaga.

Pada waktu pagi, agak sukar mencari pelanggan. Mungkin sukar untuk menyesuaikan diri dalam berurus niaga. Tetapi atas hasil kerjasama antara ahli kumpulan, halangan tersebut sedikit demi sedikit makin hilang. Alhamdulillah. Kini lokasi di Pantai Buruk merupakan lubuk emas kami. Perniagaan dan pemandangan yang indah menjadi untung kumpulan 'Losong'. Pengalaman dan ilmu baru juga berputik di sini. Segala teori yang selama ini dihadam minda, akhirnya diluahkan melalui praktikal dalam berniaga. Seronok dan gembira tidak dapat digambarkan.

Hari 3

Pagi kami disapa angin bayu pantai diberanda hotel. Sarapan yang enak menjadi hidangan. Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Keputusan kumpulan terbaik bakal diumumkan. Sebelum tiba waktu yang dinanti-nanti, perbentangan kertas kerja kami dinilai para juri. Pelbagai komen dan kata-kata semangat diajukan kepada kami semua. Segala apa yang diajukan, kami terima dengan hati yang terbuka kerana tidak mudah untuk menjalankan urusniaga diluar sana. Inikan pula bagi kami yang masih bayi dalam lapangan tersebut. Masih memerlukan tunjuk ajar daripada sahabat-sahabat usahawan yang lain.

Selepas selesai perbentangan kertas kerja bagi setiap kumpulan, kami menunggu majlis penutup untuk bermula. Para orang penting mengambil tempat masing-masing. Pengerusi majlis menyapa para hadirin dan seterusnya menjemput para orang penting untuk menyampaikan sepatah dua kata seterusnya merasmikan hari penutup program Lab Minda Keusahawanan 2013.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan menyampaian hadiah bagi setiap kumpulan. Alhamdulillah kumpulan kami menjuarai dengan kadar untung RM251 bagi jualan semalam. Untung yang tidak seberapa, tetapi amat bermakna bagi kumpulan kami, 'Losong'. Walaupun produk tidak dapat dihabiskan, tetapi pengalaman yang diperoleh amat berharga.

Hamper biru menjadi habuan, hasil daripada untung jualan, setiap ahli kumpulan mengukir senyuman, kalimah Alhamdulillah menjadi ibu segala kata-kata lisan.

Jam menunjukkan jam 3.30 petang. Bas sudah pun menunggu diluar untuk memulakan perjalanan pulang. Memori yang dicipta tidak akan kami lupa sewenang-wenangnya.
Semoga ukhwah yang terjalin, pengalaman yang diperoleh, akan sentiasa berkekalan. Tiadalah segala ini berlaku tanpa perancangan daripadaNya. Terima kasih Allah :)

No comments: