NAJWAN | Diari Lelaki: Kenali Lelaki

Tuesday, August 20, 2013

Kenali Lelaki


Menjadi lelaki bukanlah sesuatu yang mudah walaupun ada segelintir individu yang menyatakan kaum bermisai janggut ini tiada beban yang sebesar bebanan wanita. Mengapa begitu? Sedangkan mereka tidak mengandung, tidak buat kerja rumah, dan tidak juga menjaga anak. Itu jika mereka yang bergelar suami, jika yang belum bernikah, ruang masa mereka pasti lebih terluang.

Ada pendapat yang menyatakan lelaki itu ego kerana tidak mahu menunjukkan kelemahan. Tetapi
mereka tidak tahu yang lelaki itu tidak mahu menyusahkan orang lain dengan masalah atau kesulitan yang mereka hadapi. Jika mereka mempunyai masa terluang yang lebih banyak daripada wanita, janganlah salahkan mereka. Mereka ini lebih banyak meluangkan masa untuk berfikir, menganalisis perkara disekeliling mereka walaupun ada masanya apa yang mereka fikirkan itu tidak bermanfaat malah mereka terlampau 'over-analyze' sesuatu perkara. Walaupun begitu, ada baiknya mereka begitu. Mereka mudah menjadi tenang dan bijak mengawal kerisauan berbanding kaum wanita yang mudah terusik dengan suasana persekitaran.
Indah sungguh aturan Allah menciptakan dua kaum ini. Mereka melengkapi antara satu sama lain. Ada yang berpendapat lelaki ini garang dan tidak ada emosi. Malah ada yang menambah bahawa lelaki ini lebih mementingkan diri. Pada hemat penulis, bagi sesiapa yang berpendapat begitu, cuba kita jadikan mereka pasangan kita. Jika bagi wanita, bernikah adalah cara yang terbaik. Kalian akan tahu diri mereka ini amat kebudak-budakan. Mereka memerlukan teman untuk berbicara, tetapi disebabkan mereka terlalu banyak berfikir; batas-batas pergaulan harus dijaga, jika ada masalah, mereka tidak mahu membuatkan orang disekelilingnya merasa tempias masalah mereka. Akhirnya, mungkin jawapan bagi segala permainan minda mereka adalah dengan bersikap dingin dan pentingkan diri. Tidak boleh kita terus menunding jari, ingatlah bahawa lelaki dan wanita itu saling melengkapi. Usah kita mencari salah, tetapi berfikiran terbukalah antara satu sama lain.

Antara keistimewaan anak Adam ini adalah mereka mudah menyesuaikan diri dalam situasi yang baru bagi mereka. Kepimpinan mereka lebih teratur jika ingin dibandingkan dengan wanita. Cuma mungkin sedikit kurang dalam pengurusan. Tetapi, masih boleh dipertikaikan kebolehan mereka. Ada antara mereka yang lebih baik daripada yang diperkatakan namun tidak mustahil masih ada yang tidak punya sifat berikut.
Fesyen bukanlah minat utama mereka. Berpakaian kemas sudah cukup untuk dilihat sebagai seorang yang kemas dan berjiwa muda. Walaupun begitu, mereka suka akan perhiasan dan definisi 'perhiasan' tersebut amat berlainan bagi setiap individu. Ada yang merasakan 'key-chain' merupakan perhiasan terbaik mereka. Ada juga yang meminati 'button badge', robot, kereta lumba dan sebagainya. Kekemasan menjadi teras utama dalam bergerak kerja. 'Smoothness is everything'. Mereka tidak suka jika ada yang tidak serius serta bekerja sambil lewa walaupun kadang-kadang apa yang mereka tidak suka itu, mereka sendiri yang melakukannya.

Ramai yang melabel mereka sebagai orang yang suka memainkan perasaan wanita. Sekali lagi, sebenarnya jika mereka pernah melukakan hati Hawa, pada masa yang sama, hati mereka juga turut terluka. Cuma mereka tidak menzahirkan emosi mereka ke khalayak umum. Oleh itu mereka digelar dengan macam-macam gelaran. Mereka sungguh teliti dalam berhubungan, dan sangkaan mereka bergurau adalah cara untuk bermesra. Malangnya, ada antara gurauan mereka tidak dapat diterima dan disalahertikan maksudnya.
Kadang-kadang mereka menuturkan kata-kata yang kasar jika dalam perbualan. Pada hemat wanita, lelaki seperti ini tidak layak dijadikan teman sehidup semati. Perkara yang mereka sembunyikan adalah mereka hanya akan bertutur indah bersama dengan orang yang mereka cintai sahaja. Bagi wanita yang berpendapat sedemikian, pasti kalian tidak pernah mendengar perbualan si lelaki ini dengan ibu bapa mereka. Kekasaran mereka itu biasa jika dilakukan dalam kalangan jantina yang sama, namun seni berkomunikasi ini perlu dititikberatkan agar tidak ada pihak yang terus tidak senang diperlaku sebegitu.

Jika ada yang mengenali mereka ini, sebenar-benar kenal, sungguh indah hubungan yang bakal dicipta. Tiada lagi jurang rahsia dan batas-batas dalam berkata-kata. Walaupun begitu, masih banyak lagi perkara yang misteri pada kaum ini. Masih banyak teori-teori yang masih belum dibuktikan. Ini sekadar tulisan untuk menggambarkan serba sedikit profil lelaki mutakhir ini.

'No offence!!!' :)

No comments: