NAJWAN | Diari Lelaki: Biasa tetapi Berbisa

Thursday, May 9, 2013

Biasa tetapi Berbisa




Terhutang budi ku kepada seorang teman yang amat memahami kondisi ku sebagai seorang insan yang lemah dalam menerima ujian. Tika diri ini diuji dengan kegagalan, dia lah yang meniupkan angin semangat kepada ku. Masih jelas peringatan yang dia sering peringatkan, kata-kata yang biasa, tetapi berbisa.

'Apabila kita sudah bersusah payah untuk mendapatkan sesuatu yang kita hajati, tetapi
diuji dengan kegagalan, maka, usahlah berkecil hati. Kadang-kadang Allah tidak mengabulkan apa yang kita minta, tetapi, Allah beri apa yang kita perlukan. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui.'
Terubat hati ini untuk terus berusaha, mencari rezeki di dunia sementara ini, walaupun semakin banyak ranjau yang perlu dihadapi. 'Ya Allah, dah lewat ni', bisik hati kecil ku. Jam tepat menunjukkan jam 7.55 pagi. Masa yang diambil daripada hostel untuk ke kuliah perundangan adalah dalam lingkungan 5-7 minit. Sesudah menggapai beg galas, aku terus bergegas ke destinasi yang dituju.

'Maaf Ustaz sebab lambat', aku terus masuk ke dalam kelas dan mengambil tempat duduk untuk meneruskan sesi pembelajaran. Kebanyakan pensyarah di sini tidak mengambil peduli akan kedatangan pelajar mereka ke kelas. Pada hemat mereka, pelajar sudah matang dan pandai berdikari, jadi, pandai-pandailah mereka uruskan segala urusan peribadi mereka. Walaupun begitu, masih ada pensyarah yang boleh diibaratkan seperti ibu dan bapa kerana sikap ambil peduli mereka terhadap kami. Alhamdulillah, itulah antara sebab mengapa aku sangat seronok untuk menimba ilmu di bumi Selangor ini. Syukur padaMu Ya Allah.

Masa kian berlalu. Sambil menunggu azan Zuhur, aku membelek buku motivasi karangan Dr. Spencer Johnson yang berjudul 'Who Moved My Cheese'. Tajuk bukunya seakan-akan buku tadika, tetapi isinya ibarat emas ditengah benua. Banyak perumpamaan serta isi berguna yang dapat diambil daripada buku ini. Antara ayat yang menarik minat ku adalah, 'when you stop being afraid, you will feel good.' Benar kata-kata ini. Jika kita tidak hiraukan perasaan takut untuk melakukan sesuatu, pasti kita akan rasa gembira setelah melakukannya. Walaupun begitu, masih ramai yang takut untuk melakukan perubahan. Mungkin Allah sudah tetapkan sesuatu bagi mereka. Mungkin. Tetapi, bukankah Allah berfirman dalam Surah Ar-Rad, ayat 11 yang bermaksud,

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka".

Tidak mengapalah. Mungkin mereka lebih tahu apa perlu mereka lakukan. Hidup mesti diteruskan. Aku meletak buku tersebut dan bergegas mengambil wudhuk untuk kembali menghadap Tuhan ku yang Esa.

'Titt...titt...', mesej pesanan ringkas menganggu fokus ku untuk berehat sesudah menunaikan solat Zuhur berjamaah. 'Salam bro, kelas criminal cancel hari ini. Tq.' Tersenyum aku melihat mesej tersebut. Fikiran ku ligat berfikir, apa yang aku mahu lakukan untuk mengisi masa yang terluang pada waktu tersebut. Haa, aku mahu sambung menulislah. Aku bergegas menuju ke kelas yang tidak digunakan pada ketika itu dan terus menghunus pena untuk menyambung minat ku dalam bidang penulisan. Terlintas difikiran ku untuk berkongsi mengenai kehidupan di universiti ini.

Ramai yang menyuarakan pendapat bahawa kehidupan di institusi pengajian tinggi ini mudah. Terpulanglah kepada individu itu sendiri untuk menafsirkan kehidupan mereka di institusi tersebut. Bagi ku, jika kita berani, maka pasti senang jawapannya. Untuk berjaya dalam hidup, tidak kiralah di mana kita berada, sikap disiplin dan berani itu amat penting. Di sini, para tenaga pengajar tidak akan mencari kita, malah, kita yang kena mengejar mereka. Jika kita hanya duduk serta menunggu bulan jatuh ke riba, alangkah malangnya nasib kita wahai sahabat. Inilah masa untuk kita cungkil serta cari potensi diri. Terapkan sikap yang sentiasa dahagakan ilmu, insyaAllah jalan untuk kita berjaya itu semakin mudah.

Bagaimana pula jika kita ingin menjadi seorang yang berani? Atau dalam kata lainnya, seorang yang yakin pada diri sendiri? Aku bukanlah seorang yang mahir dalam bidang ini, tetapi, sekadar perkongsian, insyaAllah aku mampu untuk memberikan beberapa pendapat yang mungkin antaranya mampu menjawab persoalan sedemikian. Yang pertama, kita dilahirkan dalam keadaan asing, atau berlainan dengan orang lain. Jadi, semestinya bakat kita juga lain daripada orang lain. Jadi diri kita, jangan tiru orang lain. Allah sudah anugerahkan kita bakat, yang tinggal hanya kita perlu mencarinya. Kedua, pernahkah kita melihat sahabat kita yang sentiasa memberi jawapan merepek di dalam kelas? Kadang-kadang kita tergelak mendengar jawapan tersebut. Pernahkan? Itulah contoh yang kita dapat bayangkan, betapa pentingnya keyakinan walaupun melakukan sesuatu yang mungkin pada hemat kita, sesuatu yang tidak ada faedahnya. Apa perasaan kita ketika sahabat itu menuturkan jawapan tersebut? Adakah kita memaki beliau? Jika ya, adakah kita memaki beliau sampai keesokan harinya? Pasti tidak. Paling lama pun, mungkin seminit dua selepas dia mengutarakan jawapan tersebut. Inilah yang dikatakan bahawa, sebenarnya, tiada pun orang di dunia ini yang fikir tentang kita. Hanya kita sendiri yang sentiasa menghantui diri kita sendiri dengan memikirkan bahawa orang lain sentiasa memikirkan setiap tindak tanduk kita. Jadi, yakin pada diri kita, usah fikir apa orang kata pada kita. Kerana kita yang kenal siapa diri kita.

Masa menunjukkan tepat jam 4.33 petang. Azan Asar membuatkan aku bingkas menamatkan tulisan ku dan kembali menunaikan tanggungjawab sebagai muslim. Akhir daripada ku, sesungguhnya hari-hari muslim itu sungguh indah jika dihiasi syukur serta redha dengan ketentuan Ilahi. Harapan ku agar hari-hari kita sentiasa berada dalam rahmatNya serta pengampunanNya.

3 comments:

Unknown said...

comel la entry awk ni... btw, akk dah follow awak.. follow kakak juga yee

wanmin92 said...

xjmpa blog nya @.@

+Hold The Truth+ said...

pernahkah kita melihat sahabat kita yang sentiasa memberi jawapan merepek di dalam kelas? Kadang-kadang kita tergelak mendengar jawapan tersebut.

Apa perasaan kita ketika sahabat itu menuturkan jawapan tersebut? Adakah kita memaki beliau? Jika ya, adakah kita memaki beliau sampai keesokan harinya? Pasti tidak. Paling lama pun, mungkin seminit dua selepas dia mengutarakan jawapan tersebut. Inilah yang dikatakan bahawa, sebenarnya, tiada pun orang di dunia ini yang fikir tentang kita.

well said.