NAJWAN | Diari Lelaki: Be Extraordinary

Friday, February 8, 2013

Be Extraordinary




Assalamualaikum kepada sahabat-sahabat yang saya hormati sekalian, harap semua dalam keadaan sihat sejahtera serta sentiasa berada dibawah naungan rahmat dan berkat Allah S.W.T.

Sahabat-sahabat yang saya hormati sekalian, ingin saya berkongsi satu pengalaman yang seiring dengan kehidupan kita sebagai seorang manusia. Saya percaya bahawa kita semua pernah tempuhi satu zaman yang dinamakan sebagai zaman kanak-kanak atau zaman persekolahan peringkat rendah atau digelar sebagai 'primary school'. Saya pasti yang sahabat-sahabat masih ingat
peristiwa, ataupun setiap sesuatu yang berlaku kepada kita semua sewaktu zaman tersebut. Segala apa yang kita lakukan, kita lakukan dengan penuh jayanya dan berusaha bersungguh-sungguh.

Mari kita cuba imbas kembali peristiwa pada zaman itu, ketika musim sukan tahunan sekolah. Percaya atau tidak, kita berusaha bersungguh-sungguh untuk bersaing sesama 'rumah sukan' masing-masing. Walaupun ada segelintir mereka yang tidak aktif bersukan, tetapi tetap bersemangat untuk menunjukkan kebolehan mereka. Kerana apa? Kerana mereka yakin dengan diri mereka sendiri, kemampuan mereka. Adakah kita perasan, sewaktu kita di sekolah dahulu, kita merupakan seorang atlet lumba lari yang amat hebat. Mungkin kita pernah menjuarai pertandingan peringkat persekolahan, mungkin juga kita pernah disenaraikan sebagai pelajar terbaik serta aktif di sekolah. Tetapi, apabila usia kita semakin melonjak naik, semangat itu beransur-ansur hilang. Mungkin ada yang memberi alasan, sibuk dengan pembelajaran. Ya, tidak dinafikan yang kita ini amat sibuk. Tetapi, jika kita hadirkan rasa ingin mencuba sesuatu yang baru dalam diri kita, sepertimana kita hadirkan perasaan tersebut tatkala kita menjuarai kejohanan olahraga sewaktu sekolah rendah dahulu, tidak mustahil, segala kesibukan tersebut kita mampu atasi. Saya percaya yang kita masih ingat semasa kita kecil dahulu, kita sentiasa mencuba perkara baru seperti memanjat pokok, malah ada yang sudah pandai menunggang motosikal pada usia 9 tahun! Mengapa hal ini berlaku? Kerana pada waktu dan ketika itulah, wujud rasa ingin melakukan sesuatu, dan tidak wujud perasaan untuk berputus asa. Malah, jika kita gagal memanjat pokok, kita masih mencuba sehingga kita merasakan diri kita ini puas melakukan sesuatu. Nah, ini lah yang kita perlu terapkan dalam kehidupan kita pada waktu sekarang. Berfikiranlah dengan matang, dan bertindak seperti budak-budak. Bertindak seperti budak-budak di sini bermaksud, kita terapkan kembali semangat yang ada sewaktu kita kanak-kanak dahulu, dalam diri kita waktu sekarang untuk berjaya serta konsisten dalam berusaha untuk mencapai target kita.

Sahabat-sahabat yang saya segani, mari kita sama-sama hamparkan diri kita dalam situasi seseorang yang pada dahulunya, seni membaca pun dia tidak boleh praktikkan dalam kehidupannya. Yang anehnya, selepas beberapa dekad, dia mampu berdiri setinggi para ilmuwan bertaraf dunia. Mengapa hal begini berlaku? Hal ini tidak bukan terjadi kerana rasa inginkan sesuatu itu menjadi raja dalam kerajaan pemikiran dia. Masing-masing mempunyai kerajaan pemikiran mereka tersendiri termasuk kita. Dalam perkataan lainnya, prinsip atau pendapat dalam diri kita sendiri. Jika prinsip hidup kita jelas serta mempunyai matlamat, misi dan visi yang jelas, tidak mustahil yang kita mampu menjadi seorang yang berwibawa lagi berjaya. Mari kita sama-sama meletakkan kepercayaan kepada diri kita sendiri, jelaskan minat kita terhadap sesuatu. Seeloknya, kita cuba elakkan daripada membebankan diri kita dengan pemikiran yang buruk seperti berfikiran negatif serta sering bertangguh dalam melakukan kebaikan.

Terdapat DUA perkara yang amat penting dalam kehidupan seharian kita iaitu berkaitan dengan hubungan antara kita dengan diri sendiri, ataupun dengan kawan-kawan, ibu bapa, guru-guru, pensyarah dan sebagainya. DUA perkara tersebut adalah :

1. Kerjasama
2. Disiplin

Bagaimana kita mahu memupuk sikap kerjasama ini? Perkara yang dasar kepada sikap ini adalah, kita seharusnya menghormati antara satu sama lain. Cuba wujudkan sikap bantu-membantu antara kita dan masyarakat sekeliling. Percayalah yang orang disekeliling kita amat sensitif dengan setiap perkara kebaikan yang kita lakukan. Cuba kita bayangkan, dihadapan kita ada seorang nenek tua yang sedang mengangkat barang. Dan selepas itu, hadir seorang pemuda, menegur nenek tua itu, lantas menolongnya mengangkat barang nenek tua tersebut. Apa perasaan kita sewaktu melihat perkara tersebut? Adakah kita rasa mahu sepak pemuda tersebut? Pasti itu bukan apa yang kita rasa. Kita pasti kan berasa tenang serta seronok kerana kita melihat sesuatu kebaikan itu, pada sudut yang tinggi dalam persepektif kita. Jika kita berfikiran sebegitu, sama juga orang disekeliling kita. Jadi, kaitan kerjasama dalam hal ini, kita digalakkan agar, memulakan sesuatu kebaikan itu dahulu, ataupun melakukannya bersama-sama. Elakkan daripada mencemuh sesama sendiri, dan baikilah cemuhan itu kepada kata-kata rangsangan, puji-pujian yang ikhlas. Kerana apa? Kerana setiap manusia mempunyai hati dan perasaan. Kadangkala, walau sedikit mana pun kata-kata pujian yang kita salurkan kepada mereka, mungkin kita hanya lafazkan perkataan seperti, 'rajinnya awak'. Impaknya, mungkin dia akan menjadi seorang yang rajin serta ringan tulang dalam membantu masyarakat di sekelilingnya.  Perkara seperti ini tidak mustahil kerana manusia itu amat memerlukan dorongan serta kata-kata semangat untuk melakukan sesuatu. Kita juga perlu beringat, bahawa jika wujud persefahaman serta kerjasama yang bagus dalam sesuatu organisasi, tanpa wujudnya pihak yang autokratik dalam memberi arahan, malah, syura serta demokrasi diamalkan, percayalah sahabat-sahabat sekalian, organisasi tersebut pasti akan berjaya dengan kehendak Allah S.W.T.

Jika kita berbincang mengenai disiplin, pasti kita terbayangkan guru disiplin ataupun undang-undang negara serta peraturan-peraturan yang bagi sesetengah orang, ini merupakan sesuatu yang menyusahkan serta membebankan. Tetapi, percayalah sahabat-sahabat sekalian, kita dianugerahkan akal agar kita berfikiran positif, kerana setiap sesuatu itu, pasti ada balasannya. Mengapa perlu kita hidup dalam persekitaran yang mengamalkan budaya displin ataupun, mengapa kita perlu mengamalkan disiplin itu sendiri? Tidak lain tidak bukan kerana, syarat untuk berjaya itu adalah disiplin. Disiplin tidak semestinya berlaku di sekolah, universiti, kafe atau mana-mana tempat yang memerlukan ramai manusia. Malah, dalam diri kita sendiri itu juga wujud disiplin, seperti menepati masa, tegas dalam berbicara, cakap serupa bikin dan sebagainya. Elakkan daripada kita lihat disiplin itu dalam pandangan atau sudut yang negatif. 'Lecehlah, susahlah, bla..bla..bla..', jika kita sentiasa menghiasi diri kita dengan rungutan serta bebelan yang tidak ke mana, cepat-cepat kita alihkan pemikiran tersebut kepada pemikiran yang lain. Contohnya, jika kita lihat tepati masa itu menyusahkan, kita cepat-cepat alih pemikiran tersebut kepada sesuatu yang lain seperti berfikir mengenai perkara luar, tentang makanan serta apa-apa sahaja. Hal ini digalakkan agar kita tidak terikut-ikut dengan rungutan tersebut. Manusia itu sentiasa berubah-ubah. Dan jangan kita mengubah diri kita ke arah yang negatif seperti yang tertera di atas. Kita mampu untuk menjadi seorang yang luar biasa hanya berbekalkan disiplin dalam diri. Cara untuk kita melatih diri dengan disiplin ini sangat mudah, antaranya :

a) Kita cuba cari sebanyak mungkin pengalaman dengan menyertai pelbagai program yang dianjurkan oleh mana-mana pihak, seperti seminar motivasi, kem kepimpinan, serta lain-lain.

b) Perbanyakkan bacaan serta kefahaman dalam sesuatu perkara. Contohnya seperti kita membaca buku yang berkisar tentang kepimpinan serta memupuk daya positif dalam bersosial.

c) Jaga hubungan antara sesama manusia. Teori 3S yang selalu diterapkan oleh ilmuwan kontemporari, iaitu, SENYUM, SALAM, SOALAN.

Secara ringkasnya, jika semua perkara yang kita bincangkan ini, mampu kita amalkan atau praktikkan, insya Allah, percayalah sahabat-sahabat, kita pasti berjaya dalam mengurus diri supaya menjadi seorang muslim atau muslimah yang lebih baik. Ingatlah sahabat-sahabat yang saya kagumi sekalian, dunia ini amat memerlukan masyarakat yang berwibawa dalam mengurus sesuatu perhubungan. Dan saya percaya bahawa kita, adalah salah satu daripada individu yang terpilih serta bakal menjadi seorang yang berjaya pada masa akan datang. Insya Allah.

No comments: