NAJWAN | Diari Lelaki: Anjakan Hidayah

Tuesday, February 5, 2013

Anjakan Hidayah


Mendung kelabu menjadi cuaca dikala diri ku berduka. Segala tulisan yang ku zahirkan ternyata hanya untuk pembaca, dan bukan untuk diri ini mengenang segala luka lama. Segala peristiwa yang ku kongsikan, yang disangkakan rekaan oleh pembaca, itulah sebenarnya realiti sebuah kehidupan seorang manusia yang digelar remaja. Ramai yang terpedaya dengan hasutan iblis laknatullah, golongan yang bakal menghuni neraka. Adakah aku antara pendamping mereka tika diheret malaikat sebelum dihumbankan ke dalam api yang membara? Allahu Akbar...! Nauzubillahi min zalik...

*****
Adikkk!... Teriak ibu ku yang sedang memerah santan kelapa. Ya ibu!... 'Ni ada posmen bagi salam, pergi lah tengok-tengokkan apa yang pak cik tu nak.', arahan ibu ku terhenti di situ. Aku meletakkan pena ku, dan bergegas ke ruang tamu untuk menyapa seorang yang amat berbakti kepada negara.

'Ya bang, kenapa?'
'Betul ke ini rumah Saffa Humaira?'


'Ya, saya lah tu.'

'Oh, ini ada surat untuk kamu, sila tanda tangan di sebelah sini ya.'

'Ok, terima kasih ya bang..'

Sungguh berseri wajah ku ketika membuka sampul surat kuning yang datangnya daripada sebuah syarikat di ibukota. Perkara yang sudah lama aku impikan ternyata berlaku di depan mata. Artikel hasil tulisan ku berjaya mengisi ruangan pembaca dalam sebuah majalah yang cukup terkenal di seluruh negara. Aku senyum tanda syukur pada Ilahi atas segala nikmat-Nya.

Hal ini sungguh membahagiakan ku ketika ramai pembaca-pembaca memberi komentar yang positif terhadap karya sulung ku yang menjadi santapan minda mereka. Ada yang menghantar surat kepada ku dengan harapan agar aku sentiasa berusaha berdakwah dengan menyebarkan idea melalui tulisan pena, dan tidak terlepas juga masih ada yang melontarkan kata-kata ketidakpuasan hati mereka. Aku cuma ambil perkara tersebut sebagai motivasi diri untuk lebih tekun serta gigih dalam mengasah minat ku agar hal ini dipandang sebagai suatu ibadah oleh Yang Maha Bijaksana.

Pada bulan yang berikutnya, aku masih aktif dalam berbahasa. Itulah senjata yang perlu dihunuskan apabila berbicara dengan manusia yang digelar sebagai pembaca. Bukan mahu untuk mengatakan kita perlu berlawan dengan mereka, tetapi melalui kata-kata lah kita mampu sebarkan idea serta dapat menarik hati mereka untuk turut berfikir bersama kita. Kata-kata nasihat yang sering dihiasi kalam-kalam al-Furqan sudah pasti mampu menyentuh hati segenap manusia. Itulah antara usaha untuk merapatkan cinta antara hamba kepada Pencipta.

Walaupun begitu, setiap manusia pastinya akan diuji oleh Tuhannya. Tatkala aku dalam keadaan gembira berkarya, muncul suatu tragedi yang mampu merubah segala bait-bait yang dahulunya indah menghiasi setiap kata, tetapi kini hanya menjadi luka di dalam jiwa. Aku kini semakin mudah kalah dengan kaum yang dikata sebagai penyelamat dunia.

Pada awalnya, niat ku baik untuk berdakwah kepada si dia yang ku gelarkan sebagai Hazama. Bagiku, tidak salah jika berkongsi ilmu pengetahuan selagi mana batas-batas yang ditetapkan agama masih terjaga. Aku bukanlah seorang yang alim serta bijak dalam bidang agama. Jauh juga jika ingin dibandingkan dengan ilmu rakan-rakan ku yang melanjutkan pelajaran mereka ke bumi anbiya. Berbekalkan ilmu yang sedikit, aku cuba untuk berdakwah kepada si dia.

Lama-kelamaan, hati ku yang selama ini hanya diisi dengan cinta Allah, Rasul dan ibu bapa, kini, ternyata wujudnya titik hitam cinta jejaka yang hadir bersamanya noda. Aku masih bersangka baik kepada perkara yang ternyata amat berbeda. Aku teruskan 'dakwah' itu yang pada awalnya dimulakan dengan bertukar ilmu, seterusnya bertukar nota, dan akhirnya mampu untuk duduk berdua. Alangkah licik tipu daya iblis yang sentiasa mengatakan diri ku masih terjaga walaupun ternyata sudah melanggar hukum agama.

Aku sering memberikan kata-kata nasihat kepada Hazama dan berjanji agar sentiasa berada di sisinya ketika dia memerlukan seorang penjaga. Kononnya menjadi penjaga daripada dia berterusan melakukan salah silap dalam hidupnya. Sungguh jahil aku ketika itu, sesuatu yang sukar untuk ku ungkapkan kepada ibu bapa ku, ternyata mudah diungkapkan kepada Hazama, hasil dorongan iblis yang sungguh hina. Hidupku semakin hanyut dibawa arus cinta yang yang penuh dosa.

Sudah setahun aku dan Hazama menjalani hubungan yang tidak direstui kedua ibu bapa. Aku yang masih menuntut di universiti, sudah tentu hal ini menjadi fitnah kepada pembelajaran ku sebagai pelajar tahun tiga. Cinta yang kian parah membuatkan aku semakin alpa dan leka. Sentiasa terbuai dengan kata-kata pujian yang merupakan umpan seorang jejaka kepada wanita.

Akhirnya, aku bersetuju untuk mengakhiri zaman menuntut ilmu ini dengan mengikut Hazama pergi ke luar kota. Tidak ku endahkan lagi minat ku dalam berkarya serta apa yang terjadi kepada kedua orang tua. Yang ku fikir sekarang hanyalah cinta yang dikatakan sejati antara aku dan Hazama. Cinta yang tulus suci pada pandangan iblis dan sekutunya.

Dalam tempoh pelarian ku bersama si dia, aku masih terus berkarya. Yang menariknya, kata-kata ku dalam berbahasa penuh dengan ayat-ayat suci al-Quran dan kisah-kisah teladan dari sejarah para ulama. Adakah aku ini sungguh buta untuk lihat akan kesalahan di depan mata?
Mungkin kerana kesan daripada 'cinta sejati' itu membuatkan aku masih tuli dalam bersangka.
Aku berkarya dalam hidup bergelumang dengan dosa, seperti penzina menyuruh orang supaya menjauhi zina. Adakah benar kehidupan ini seperti roda? Persoalan yang tidak terjawab dan ditinggalkan begitu sahaja.

Setelah 4 bulan aku bersama Hazama mengharungi liku-liku kehidupan sebagai pasangan durjana, aku dilawati pihak berkuasa yang telah ditugaskan untuk mencari seorang gadis yang bernama Saffa Humaira. Wajah ku bertukar gelisah, hati meronta-ronta supaya menyuruh  aku untuk melarikan diri daripada mereka. Tetapi, usaha yang tidak seberapa, berjaya disekat oleh pihak berkuasa. Di mana kekasih ku, Hazama, di waktu aku memerlukan dia? Aku diberitakan bahawa dia melarikan diri ketika aku membuka pintu rumah sewa yang kami diami sepanjang tempoh pelarian bersama.

Mendung kelabu menjadi cuaca dikala diri ku berduka. Segala tulisan yang ku zahirkan ternyata hanya untuk pembaca, dan bukan untuk diri ini mengenang segala luka lama. Segala peristiwa yang ku kongsikan, yang disangkakan rekaan oleh pembaca, itulah sebenarnya realiti sebuah kehidupan seorang manusia yang digelar remaja. Ramai yang terpedaya dengan hasutan iblis laknatullah, golongan yang bakal menghuni neraka. Adakah aku antara pendamping mereka tika diheret malaikat sebelum dihumbankan ke dalam api yang membara? Allahu Akbar...! Nauzubillahi min zalik...

Kini  aku semakin matang dalam berbicara serta membuat segala keputusan yang sentiasa berlandaskan agama. Memori lama ingin aku padamkan dan digantikan dengan isi kandungan yang berbeza. Alhamdulillah, sekarang aku dikurniakan seorang jejaka yang bergelar suami untuk menjaga aku daripada terus alpa. Sungguh besar harga hidayah Allah jika ingin dibandingkan dengan harga diri ini yang murah kerana dosa. Tetapi tidak hairanlah kerana Allah itu Maha Pengampun dosa hamba-hamba-Nya.

Wahai remaja, peliharalah cinta mu dengan bercinta dengan Allah serta Rasul-Nya. Sesungguhnya tiadalah tenang berada dalam kebencian serta kemurkaan Allah dengan menzahirkan cinta kepada manusia yang bukan milik kita. Ya, benar jika ada yang mengatakan bahawa kita sering melakukan kesilapan, tetapi, jangan jadikan kesilapan itu suatu kebiasaan yang akhirnya menjadi racun kepada hati dan jiwa.

Sudah 2 tahun tempoh perkahwinan ku, kini aku masih giat dalam berkarya walaupun sudah menimang dua orang cahaya mata. Niat suci ku untuk berdakwah kepada remaja luar sana, sentiasa diperbaharui supaya memori lama hanya kekal sebagai nostalgia. Harap niat ini kekal suci hingga ke akhir hayat.

''Alangkah indah hidup bersyariat, segala keperluan hadir bersamanya berkat, semoga coretan hidup ini tidak berakhir dengan tamatnya dakwat sebatang pen mahupun highlight''



No comments: