NAJWAN | Diari Lelaki: Diari Amin

Tuesday, December 11, 2012

Diari Amin



''Amin, kau pergi ya program hujung minggu depan, harap dapat kosongkan tarikh dari 15-21 Jun tahun ini.''

_____________________________________________________________________

Sudah setahun Amin menjejakkan kaki di sebuah IPTA yang tersergam indah bangunannya. Dia terkenang peristiwa yang sememangnya tidak pernah hilang daripada catatan memorinya.

Amin diterima untuk meneruskan pembelajaran di salah sebuah IPTA yang cukup terkenal dengan graduan yang cukup cemerlang, lahir daripada IPTA tersebut. Niat Amin pada awalnya
memang untuk melanjutkan pelajaran di situ, tambahan pula subjek yang ditawarkan menepati minatnya sejak dia masih lagi di sekolah menengah.

Peristiwa pada awal semester pertama amat sukar dilupakan. Segala perit getir yang telah Amin hadapi banyak mengajar dia erti pengorbanan. Walaupun begitu, benarlah firman Allah dalam Al-Quran yang menegaskan bahawa setiap kesusahan itu, padanya pasti ada kesenangan. Disebalik segala ujian, Amin dianugerahkan dengan satu ikatan ukhuwah yang sukar untuk dicari ganti. 'Aku bersyukur pada-Mu Ya Allah kerana menyatukan hati aku serta teman-teman ku walaupun wujud perbezaan latar belakang yang ketara antara kami.' Doa Amin sebagai tanda syukur seorang hamba kepada Tuhan.

Matlamat utama Amin ketika berada di sini adalah untuk mencari pengalaman sebanyak mungkin daripada bumi asing ini. Bila mana Amin dimaklumkan akan adanya aktiviti pada minggu tersebut, pasti dia akan sertainya walaupun dia tidak pernah tahu menahu mengenai latar belakang penubuhan kelab tersebut. Sangkaan Amin, apabila dia menyertai aktiviti atau program yang diaturkan oleh kelab-kelab di IPTA ini, dia pasti akan bertemu dengan rakan-rakan yang baru serta beramah mesra dengan 'senior' di tempat dia belajar. Alhamdulillah Allah tidak mengecewakan sangkaan hamba-Nya.

Minat Amin untuk menyertai program-program yang dianjurkan semakin bertambah. Semakin banyak program yang Amin sertai, semakin ramai rakan-rakan baru yang dia temui. Perkara ini berlangsung hingga ke akhir semester kedua apabila dia dipaksa untuk menyertai satu program yang bakal merubah hidupnya. Niat Amin untuk pulang ke kampung pada akhir semester tersebut terbantut dengan rayuan kata-kata manis serta ajakan daripada seorang 'senior' yang dia cukup kenali.

''Amin, kau pergi ya program hujung semester ini, harap dapat kosongkan tarikh dari 15-21 Jun tahun ini ya.'', kata Abg Zam kepada Amin. Abg Zam merupakan 'senior' yang dia kenal semasa program lepas.

'Arggh...!,' rungut hati kecil Amin menandakan tidak setuju untuk menyertai program tersebut.

Pelbagai alasan yang Amin berikan, tetapi, pujukan Abg Zam itu tidak pernah kenal erti putus asa. Akhirnya, Amin tewas dengan pujuk rayu Abg Zam. Niat yang dahulunya sering disertai 'Lillahita'ala', kini dibaluti dengan nafsu amarah serta dendam terhadap 'senior'nya. Memang daripada awal Amin tidak mahu menyertai program tu, tapi kerana rayuan Abg Zam, Amin cuba untuk merelakan pemergiannya.

*****

Dua bulan telah pun berlalu, semester ketiga bakal mendatang. Amin cukup gembira untuk meneruskan pembelajaran dia sebagai seorang yang telah bergelar mahasiswa.

'Buzz...!', berdering telefon Amin menandakan ada mesej masuk.

'Perjumpaan akan diadakan pada waktu dan masa seperti berikut : 14 September, 10 malam, di Bangunan A, bilik 1.4.'

''Apa pula ni?'', bisik Amin.

Bermula daripada malam itulah, sikit demi sedikit hidup Amin berubah, kesan daripada rentetan peristiwa pertengahan Jun yang lepas. Walaupun ramai yang menganggap diri Amin sebagai orang yang sentiasa ingin berubah untuk menjadi yang terbaik, tetapi, hanya Allah sahaja yang tahu apa yang terkandung dalam perasaan serta diri Amin.

Dia masih keliru, mengapa perlu wujud paksaan serta berselindung dalam memberi sesuatu maklumat. Pada hematnya, jika perkara tersebut diberitahu pun, mungkin kesannya tetap sama. Persoalan yang masih tidak terjawab dan akan sentiasa memberi kesan kepada setiap gerak kerja Amin sebagai seorang mahasiswa.

*****

Kini, Amin menjalani hidup seperti biasa, semakin ramai orang yang dia kenal, bermacam ragam dia temui. Ada yang sukar untuk menerima kehadirannya di sini, ada yang buruk sangka padanya, malah, ada yang sanggup melemparkan tuduhan padanya. Berbekalkan ilmu agama yang sedikit, Amin cuba untuk menenangkan diri serta menyesuaikan diri dalam keadaan sebegitu. Hanya Allah sahaja tempat dia meminta pertolongan.

'Selagi mana kita tolong-menolong ke jalan Allah, selagi itulah Allah menolong kita.'

Frasa yang sering memberi motivasi kepada Amin dalam mengharungi jejak langkahnya untuk berjaya.

Walaupun begitu, Amin tidak pernah memburukkan mereka kerana masing-masing ada pendapat sendiri, mungkin juga benar apa yang mereka katakan. Amin bermonolog sendirian, 'adakah aku ini seorang yang sempurna sehinggakan setiap kritikan aku pertikaikan?'', bisik Amin.

Dalam berjuang untuk mencari kejayaan duniawi serta ukhrawi, Allah memberikan Amin ramai rakan seperjuangan. Antaranya ada yang sentiasa menolong Amin, menyokong, serta ada juga yang kadang-kadang melemahkan diri Amin untuk berjaya. Itulah yang dinamakan nikmat serta ujian dalam berjuang.

*****

Ada yang bertanya kepada Amin, 'kau sudah berumur, tak mahu kahwin ke?'.

Soalan yang tidak pasti sama ada ditujukan hanya sekadar gurauan ataupun kenyataan.

Jawab Amin, 'jika aku tanya hati, pasti aku ingin menuju ke gerbang sunnah Nabi, tapi jika aku tanya pada diri, aku masih belum mampu untuk memikul beratnya amanah Ilahi.'

Jam menunjukkan tepat jam 8.20 malam pada akhir bulan November. Amin mengakhiri coretan mengenai hidupnya serta bingkas menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Bantulah hamba-Mu ini Ya Allah...

No comments: