NAJWAN | Diari Lelaki: Diriku sebagai seorang hamba

Thursday, September 6, 2012

Diriku sebagai seorang hamba



Salam hormat kepada minda-minda intelek yang ku segani lagi ku hormati. Bukalah hatimu, lapangkan jiwamu, agar mudah untukmu menerima segala kelemahan yang bakal kamu temui sebentar sahaja nanti.

Ini antara tulisan pertamaku, untuk tatapan sahabat-sahabat yang sentiasa memacu hidupku ke arah yang lebih baik. Syukur alhamdulillah ke hadrat Ilahi kerana limpah kurniaNya, diri yang kerdil ini masih berbaki usaha untuk meneruskan tulisan yang pada dasarnya
tidak seberapa. Walaupun begitu, insyaAllah jika diberikan rezeki olehNya, diri ini akan meneruskan aktiviti ilmiah seperti ini untuk mengisi masa lapang dan pada masa yang sama, menyelitkan beberapa kata-kata nasihat yang insyaAllah berguna untuk diri ini serta sahabat-sahabat seperjuanganku yang tidak mengenal erti putus asa dalam mendapatkan keredhaan Allah S.W.T..

Wahai sahabat-sahabat yang ku kasihi,

Tulisan ku ini bukanlah bertujuan untuk mengejar populariti, bukan juga untuk mendapat perhatian tv, tetapi untuk ku gunakan sebagai satu medium dalam meluahkan apa yang terpendam di dalam diri ini yang tidak mampu ku natijahkan dengan kata-kata hati. Diri ini seorang yang lemah, bukanlah seorang yang gagah. Ibarat kepompong yang tiada upaya untuk kekal berdikari sebelum berubah menjadi rama-rama yang indah lagi berseri.


Niat ku hanya untuk berkongsi idea serta ilmu yang sudah lama diketahui oleh segenap masyarakat pada era akhir zaman. Tidak salah rasanya untuk menjadi seorang yang sentiasa memperingatkan hamba-hamba Allah akan hal-hal duniawi mahupun ukhrawi kerana perkara itu sendiri merupakan sebaik-baik amalan. Sememangnya setiap bait kata-kata ku tidak lari daripada segala sudut kesalahan, oleh itu, tegurlah diri ku ini wahai teman.

Wahai teman-teman ku yang budiman,

Tiada manusia di dunia ini sempurna perwatakan mahupun budi pekertinya selain Nabi Muhammad S.A.W., nabi junjungan.  Umumnya, semua saudara ku menjadikan baginda sebagai idola utama dalam mengorak langkah, mengharungi segala tribulasi yang hampir fantasi, berhadapan dengan mehnah yang sentiasa membawa fitnah, serta ujian yang tidak putus-putus seperti dosa yang sering dilakukan hamba kepada Ar-Rahman.

Walaupun begitu, melakukan dosa bukanlah bermakna selama-lamanya tidak akan mendapat keampunan daripada Maha Bijaksana. Dia lebih tahu apa yang kita perlukan lebih daripada insan yang sentiasa mendampingi kita siang dan malam bersama. Percayalah kepada rahmat Dia yang Maha Luas wahai teman hidup ku sedunia. Harapan ku apabila tiba masa kita kembali ke sisiNya, kita dianugerahkan nikmat yang Maha Agung iaitu syurga.

Sekadar ini sahaja perkongsian yang dapat ku teroka daripada secetek-cetek telaga ilmu, harap segala salah dan silap dapat diutarakan supaya hasil yang akan datang tidak membuahkan jemu, maaf jika terdapat kata-kata yang tidak manis kewujudannya untuk santapan mu wahai tetamu.
Assalamualaikum...
                                                                                                                                                                ~wanmin92~

No comments: