NAJWAN | Diari Lelaki: Khilaf Diri

Wednesday, May 22, 2013

Khilaf Diri



Terkadang diri ini dilanda kesesatan dalam mengejar redha Ilahi. Terpesong amalan dek dosa yang membinasakan. Alangkah malang hamba yang lalai dengan kemaruk nafsu amarah serta alpa pada kematian yang semakin hampir. Menjelang musim peperiksaan, semakin mudah diri ini terjatuh ke lembah kemaksiatan. Ya Allah, ampunkanlah dosa hambaMu ini.

Tiada kuasa yang mampu memberi kejayaan atau kegagalan kepada seseorang individu itu selain Allah. Pernah dulu aku mempraktikkan syariat Islam dalam diri dan alhamdulillah
balasan Allah terhadap mereka yang taat padaNya amat bernilai dan sukar dicari ganti. Tahun yang dihiasi amalan sunnah baginda serta akhlak mulia tuntutan Nabi S.A.W . Tidak lupa juga usaha dalam mempererat hubungan antara manusia. Solat hajat sering didirikan seusai maghrib berjemaah. Alhamdulillah perkara yang dihajati, Allah kabulkan berkat usaha dan taqwa padaNya. Terasa nikmat agung itu pada diri. Tetapi, malangnya, rutin sepanjang setahun itu tidak diteruskan pada tahun-tahun yang berikutnya. Hanyut, hanyut diri ini terpedaya dengan hasutan syaitan yang durjana.
Pada tahun tersebut, suasana yang diterapkan sungguh berbeza jika dibandingkan dengan situasi sekarang. Situasi yang dahulunya sentiasa dikelilingi dengan kelompok bekas-bekas pelajar agama serta pengaruh tenaga pengajar yang mendidik kami ke arah ajaran agama yang mulia. Dan kini aku berdiri sendiri, berhadapan dengan masyarakat yang amat asing bagi diri ku. Sungguh hebat ujianMu Ya Allah.

Walau bagaimanapun, itulah ujian kehidupan. Tiada jalan pintas untuk ke syurga Allah, yang dihuni oleh bidadari bermata jeli. Adakah aku mahu korbankan nikmat syurga semata-mata untuk mengejar nikmat dunia? Adakah mampu diri ini menahan seksa dibelenggu pada hari akhirat kelak? Nauzubillahi min zalik.

Kini, aku masih mencari sinar hidayah Allah S.W.T dan pengampunanNya. Aku percaya bahawa Dia lah Yang Maha Pengampun. Aku bersaksi, tiada Tuhan selain Allah, dan Dia sahaja yang mampu serta berkuasa melakukan sesuatu padaku. Jika diri kita leka dan alpa terhadap syariatNya, maka cepat-cepat lah kita pulang ke pangkal jalan atau 'back to basic'. Sesungguhnya setiap segala sesuatu, hanya akan berlaku atas kehendakNya.

No comments: