NAJWAN | Diari Lelaki: Kerana Kerongsang

Monday, July 29, 2013

Kerana Kerongsang

Assalamualaikum, warahmatullah.. Assalamualaikum, warahmatullah..

Aku berpaling kebelakang soff solatku dan menghulurkan tangan kepada bidadari tercintaku, Hawa. Perkahwinan yang baru mekar ibarat bunga yang baru menerima sinaran nur matahari untuk terus mekar dan berharap agar tiada sang serangga yang datang menganggu. Tetapi apakan daya jika sudah menjadi norma kehidupan manusia bahawa ujian itu pasti ada dalam mana-mana hubungan suami isteri. Berusaha, berdoa dan tawakkal merupakan cara terbaik
untuk menghadapi apa-apa ujian yang bakal mendatang.

'Wa, kalau abang ada salah pada Hawa, abang minta maaf ya. Abang harap hubungan kita ini, direstui Allah sebagaimana mak abah merestui hubungan kita. Abang takut kita tersalah langkah ketika mana sebelum atau selepas majlis upacara perkahwinan 2 hari lepas.',  lembut irama suara Adam ketika menuturkan kata-kata kepada isterinya.
'Baiklah abang. Wa juga nak minta maaf kalau Wa tersalah kata dengan abang, atau mana-mana perilaku Wa yang abang tidak suka. Wa sangat memerlukan bantuan seorang suami yang mampu membimbing Wa mencari redha Allah. Syurga Wa kan terletak pada abang.', tenung Hawa tepat pada mata suaminya sambil tersenyum malu.

Kedua-kedua mereka ibarat anak yang baru mengenal dunia. Perkenalan yang singkat ketika di alam graduasi membuatkan mereka lebih rapat untuk mengenali satu sama lain selepas diijabkabulkan.

*****

Pada 1 bulan yang lalu, ketika hari graduasi di salah sebuah universiti tempatan, aku termenung menunggu untuk menyambut mak abah ku sampai. Ketika sedang mengalunkan zikir 'ilahilastull firdaus', mata ku terhenti seketika apabila melihat seorang gadis yang tertunduk-tunduk ke tanah. Ku langkah anak-anak, perlahan-lahan menghampiri gadis tersebut.
'Eh, cari apa ni?' tanya ku dengan lembut.
'(terkejut) Kerongsang saya terjatuh,' jawab gadis yang tertutup rapi wajahnya.
'(aish) Nak tolong ke tak ni. Orang ramai sibuk mundar mandir, tapi tiada seorang pun yang nak tolong dia ni.' soal ku dalam hati.

'Baiklah, tadi 'jatuhkan' arah mana agaknya ya?'
'Tidak apalah, biar saya cari.' gadis itu terus berpaling di arah yang bertentangan dengan Adam.
'Erk, kerek kot minah ni.' bisik hati kecil ku.

'Assalamualaikum!'
'(pandang kebelakang) Wa'alaikumussalam, eh mak abah!' teriak ku perlahan.
Aku bersalaman dengan mereka sepertimana adab yang diajar ulama terdahulu ketika anak dan ibu bapa bersua. Manis hubungan keluarga yang dihiasi adab islami.

'Lama sudah sampai? Kenapa tak telefon Adam dulu.'
'La, kami dah nampak Adam tadi daripada tempat letak kereta. Lagipun, Adam juga yang bagi tahu Adam ada di tempat ini kan.' balas akaknya.
'Ha, yela kak. Mana abang dan keluarga dia? Kerja ke?'
'Taklah, dia orang on the way lagi rasanya.'
'Siapa perempuan tadi tu?' tanya mak.
'(haha) Perempuan mana entah. Hilang barang katanya. Nak tolong tadi. Tapi tak jadilah.' jawab ku.
'Eh, mak abah, jomlah masuk dewan dulu.'

''Dipersilakan Adam bin Abdullah untuk naik ke pentas untuk menerima ......''

Aku percaya bahawa mak dan abah ku amat gembira melihat anak mereka menerima segulung ijazah setelah segala penat lelah mereka untuk mengasuh dan mendidik seorang insan yang bernama anak. Aku amat bersyukur kerana dianugerahkan keluarga yang tidak tergolong dalam kumpulan bangsawan, tetapi tinggi adab dan sikap murni seorang insan budiman.

'Adam, jom teman akak pergi booth sana. Akak nak beli barang untuk anak abang.'
'Baik kak.'

Setelah selesai majlis graduasi, Aku menemani akak ku ke tempat jual cenderamata. Akak memang suka membeli sesuatu untuk anak abang kami. Sementara abang dan keluarganya belum sampai, kami sibuk membeli barangan seperti ingin menyambut mereka pula di majlis graduasi ini. Apabila tiba di kedai cenderamata, aku ternampak kerongsang yang amat cantik pada hemat ku. Hijau permatanya, warna kesukaan ku.
'Aku mahu belilah kerongsang ni. Boleh bagi hadiah untuk akak ipar ku nanti. Paling tidak pun lecturer aku.'

Akak membeli beberapa keychain dan makanan ringan untuk mengalas perut.

'Akak, mak telefon tadi, mak abah dah tunggu dekat wakaf sana. Jom!'
Dalam perjalanan ke wakaf berdekatan dengan dewan graduasi itu, Aku nampak ramai pula manusia selain mak abah ku di sana.
'Abang dah sampai la ni kot.'
Apabila tiba sahaja di wakaf tersebut, Aku tersentak seketika apabila melihat gadis yang 'kerek' dengan ku tadi turut serta berada di sana.

'Akak, adik. Ni kawan baru mak jumpa dalam dewan tadi. Duduk sebelah-sebelah. Anak mak cik ni pun terima ijazah juga. Adik kenal?' tanya mak.
'(aiseh mak ni panggil adik-adik pula depan orang tak kenal ni) Err, tak kenal pun. Lain bidang pengajian kot.' jawab ku.

Mereka berbual dengan meriahnya seperti kawan lama yang bertemu semula. Aku mendiamkan diri, tidak tahu dengan siapa mahu berbual. Akak berbual dengan gadis itu. Membelek handphone sahajalah yang aku mampu lakukan. Sifat pemalu yang sukar untuk ku hapuskan.

Dalam beberapa minit, abang dan keluarganya tiba. Kehadiran abang dan keluarga semakin menghangatkan perbualan. Abang mahir dalam berbual dengan orang asing kerana memang bidang pekerjaannya memerlukan dia pakar dalam bidang tersebut. Tetapi diri ku? Senyap membatu.
'Apa lah aku nak buat ni.' bisik hati ku.

Jam menunjukkan 4.00 petang. Waktu ini semua graduan dikehendaki pergi ke dewan untuk sesi fotografi. Aku bergerak dahulu dan gadis tersebut turut sama menuju ke dewan.
'Jumpa lagi aku dengan minah ni. Dah la kena tolak mentah-mentah je tadi. Eh, apa nama dia ni ya. Tak perasan pula masa akak berbual dengan dia tadi.' bisik ku.
Aku memberanikan diri untuk pusing kebelakang.
'Nama apa?' kaku soalan ku.
'Hawa.'

'Kerongsang hilang tadikan? Nah. Buat ganti. Kalau dah jumpa, ambil la sebagai hadiah graduasi.' secara tidak sengaja tangan ku menyeluk poket seluar dan terus menghulurkan kerongsang yang aku beli sebentar tadi. Perancangan untuk memberi kerongsang tersebut kepada akak ipar atau lecturer ku gagal.
'Terima kasih.' balas Hawa.

'Malu usah dikira, tetapi cover jelah.' kata ku dalam hati.

Kami berdua terus menuju ke dewan.
Selepas selesai sesi fotografi, kami menuju ke arah yang berlainan memandangkan keluarga masing-masing sudah menunggu di tempat letak kereta untuk pulang ke rumah.
Tiba sahaja aku di kereta, mak terus bertanya,
'Adik, mak suka lah dengan keluarga perempuan tadi tu.'
'(tercengang) Baguslah. Mak dapat kawan baru.'
'Kalau jadi besan mak, Adam ok je kan?'
'Ha, yelah tu mak.'
Mak hanya balas pernyataan ku dengan senyuman.

Aku terima pernyataan mak sebagai gurauan. Mak sememangnya begitu, kerap bergurau dengan cahaya matanya yang tercinta.

Pada minggu seterusnya, mak ajak sekeluarga pergi ke rumah kawannya. Katanya mahu penuhi undangan majlis pernikahan anak sahabatnya. Aku turut serta pergi ke sana.
Apabila sampai ke destinasi yang dituju, perkara pertama yang menimbulkan tanda tanya ku adalah mengapa saudara terdekat aku juga turut berada di sini. Sedangkan ini majlis sahabat mak ku. Tetapi saudara belah abah pula yang hadir.
'Kenalan rapat mereka barangkali.' sangka hati kecil ku.

Aku terus mengangkat bakul-bakul hadiah serta sedikit bungkusan untuk bawa masuk ke rumah sahabat mak. Katanya hadiah untuk mereka.
Tok imam sudah hadir, dan saksi pun sudah memenuhi ruang kosong di sebelah tok imam.
Tapi, mana insan yang bakal dinikahkan? Mana pasangan belah lelaki dan belah perempuannya. Timbul persoalan kedua dalam benak fikiran ku. Tidak sampai seminit, persoalan ketiga terus menyerang fikiran, macam pernah nampak pemilik rumah ini. Tetapi, di mana ya?
Dalam masa yang sama, abah ku bangun dan duduk disebelah tok imam dan insan yang pernah ku temui itu. Memori aku masih belum mampu menjelaskan persoalan yang timbul. Angin persekitaran di sini amat dingin. Seperti aku pula yang ingin dinikahkan.

'Mustahil.'

Terpaku mata ku apabila melihat gadis ibarat bidadari dunia yang menuruni tangga kediaman tersebut. Berjubah putih bersih berserta purdah yang dikenakan di wajah seorang wanita yang bakal digelar zaujah. Indah sungguh melihatnya. Diri ini beristighfar dan menundukkan pandangan. Bukan milik ku insan itu.

'Ya Allah, indahnya perhiasan dunia. Beruntung sungguh jejaka yang bakal dinikahkan.' bisik jiwa ku sambil mengarahkan mata ke arah yang bertentangan. Astaghfirullahal'azim.
Terlintas difikiran ku, 'macam pernah aku jumpa gadis tu. Pelanduk dua serupa agaknya. Lagipun, dia pakai penutup muka. Mana mungkin aku kenal.'

Majlis dimulakan. Abah mengetuai bagi rombongan kami sekaligus berhujah dan berkata-kata dengan ayah kepada gadis tersebut sambil disaksikan hadirin.
'Eh, kenapa abah ni. Macam anak dia pula yang nak bernikah.' terdetik persoalan dari ku.

Apabila disebut nama pasangan yang bakal dinikahkan, merah padam muka ku.
Adam Abdullah dan Hawa Aminah???
'Aku ke ni. Jangan main-main abah. Aku tak tahu apa-apa pun.'

Memori aku semakin jelas menerangkan apa yang berlaku. Persoalan yang timbul sudah terjawab satu persatu. Perancangan keluarga dibuat tanpa pengetahuan ku. Walau bagaimanapun, masih tiada sesiapa yang bertakhta dalam hati ini. Tidak dapat tidak, aku terima dengan akur walaupun malu dengan tindakan keluarga. Mungkin hanya aku sahaja yang malu, kerana hadirin lain menunjukkan riak wajah yang gembira dan ada antaranya yang masih tersipu-sipu. Sememangnya hal-hal yang berlaku dalam hidup ini  bukan segalanya atas kehendak dan perancangan individu.

Dengan berpakaian kemeja dan seluar slack hitam, dengan selamba aku bangun dan menghampiri tok imam.

'Aish, orang lain nikah pakai smart-smart, tapi aku pakai macam nak pergi kelas je.' rungut hati ini lagi.
Alhamdulillah. Selesai diijabkabulkan.

Aku digesa agar menghampiri isterinya. Malu ditambah dengan rasa bersalah menguasai benak fikiran. 'Dia ni setuju ke tidak. Ke kena paksa dengan mak abah dia je ni.' pelbagai andaian yang keluar.
'Eh, ni kerongsang aku bagi kat dia dulu ni.'  soal hati ku ketika melihat kerongsang yang cantik diletakkan di tudung isterinya.

'Cantik kerongsang. Siapa bagi?' spontan aku bergurau ketika menghulurkan tangan untuk menyusun jari meminta maaf jika hari ini juga bukan atas kehendak si dia.
'Mestilah cantik, buah hati Wa yang bagi,' jawapan yang ringkas, sekaligus menandakan bahawa si dia setuju dengan perancangan yang telah ditetapkan.

Hadirin beransur pulang setelah habis jamuan ringan dan berkenalan dengan Adam dan Hawa. Solat sunat dua rakaat didirikan tanda kesyukuran. Allahu akbar.

*****

Setelah kami selesai solat maghrib berjemaah. Aku bangun daripada tempat solat ku beserta Hawa. Sungguh, perkenalan yang singkat sebelum berkahwin menatijahkan kesan yang mendalam dan indah sewaktu menjalinkan hubungan selepas diijabkabulkan. Ibarat insan yang baru bertemu dan ingin mengenal budi pekerti masing-masing. Pasti banyak dan pelbagai soalan yang ingin ditujukan. Itulah penyeri hidup kami.

'Harini abang nak minta Wa tolong ajar abang masak la ya.'
'Eh, abanglah ajar Wa. Asyik Wa je.'

Kedua-dua mereka menuju ke dapur rumah untuk menyiapkan menu dinner kerana abang ku dan keluarganya ingin bertandang ke rumah. Benarlah bahawa Allah itu sebaik-baik perancang. Aku terus berdoa agar segala ujian yang bakal dihadapi oleh kami berdua dapat diharungi dengan tawakkal sentiasa berpegang pada agamaNya. ''Rabbanaa hablanaa min azwajinaa wazurriyyatina qurratu a'yuniw waja'alna lilmuttaqina imama.'' - al Furqan : 74

1 comment:

Firdani As-Sandakani said...

Kisah yang menarik Cuma perlu ditambah baik lagi keindahan bahasanya, biar memberikan kesan yang dalam kepada para pembaca.

btw, siapa watak dalam cerita ni ? Jangan2 kamu pula yang akan menyoroti kawan2 kita yang sudah nikah. hahaha