NAJWAN | Diari Lelaki: Jodoh ku

Saturday, July 13, 2013

Jodoh ku


Alhamdulillah aku masih diberi peluang untuk bertemu dan menyapa Ramadhan - penghulu segala bulan - pada tahun 2013. Nikmat yang tidak dapat digambarkan, pasti digunakan sebaiknya, untuk menggapai keampunan atas dosa-dosa lalu. Ya Allah, amat berdosa diri ini.

3 Ramadhan 1434, diri tidak keruan untuk menuju ke mana arah tujuan selepas menunaikan solat isya'. 'Ikut sahajalah mana hati ini mahu pergi,'' desak naluri ku. Dengan tenang aku menghidupkan enjin motosikal dan menuju ke arah
timur. Keinginan untuk solat tarawikh di masjid-masjid sekitar Gombak masih terbuku dijiwa. Terlintas dan tergerak motorsikal, seiring dengan naluri ku, menuju ke destinasi yang sering juga aku lewati ketika mana ada aktiviti di sana. Masjid atau surau KUIZM tempat itu diberi nama. Timbul tanda tanya dalam diri ku, kenapa ramai orang di rumah Allah ini? Aku memberhentikan enjin motosikal ku dan terus ke gerbang pintu rumah Allah memandangkan solat tarawikh baru sahaja bermula. Aku mengukir senyuman kepada tetamu-tetamu istimewa Allah di sana. 'Ramai juga sahabat-sahabat aku di kampus solat di sini,'' bisik hati kecil ku. Niat ditetapkan, takbir dilaungkan, solat dimulakan.

'Assalamualaikum warahmatullah.' Selesai sudah solat tarawikh 8 rakaat dan witir 3 rakaat. Diri ini masih memikul tanda tanya, barangkali aneh apa yang berlaku hari ini. Apa yang Allah telah tetapkan untuk ku? Bertemu jodohkah? Alhamdulillah. Sangkaan ku benar.

'Tuan Puan jemaah masjid sekalian, hari ini kita akan adakan forum perbincangan mengenai isu Mesir....'.

Pengumuman di dalam masjid tersebut mencuri tumpuan ku terhadap segala persoalan yang timbul dalam diri. Senyuman kembali mengukir di wajahku. 'Ini ketetapanMu pada ku rupanya.' Alhamdulillah, teringat aku kepada ayat ke 186, surah Al Baqarah yang menyatakan bahawa Allah itu dekat bersama hamba-hambaNya. Perjalanan ku yang pada mulanya tidak terlintas untuk menuju ke sini, akhirnya ditetapkan oleh Allah untuk berada di dalam salah satu taman-taman syurga. Sungguh indah perancangan Allah.

Tidak sia-sia apa yang aku percaya selama ini. Buktinya, setiap sesuatu itu, pasti ada hikmah dan ketetapannya. Usah menghantui diri ini dengan kekecewaan dan kemurungan, tetapi, bangkitlah menjadi insan yang luar biasa. Ketahuilah bahawa diri ini sungguh berbeza dengan segenap lapisan manusia di dunia ini. Raikan perbezaan, dan manfaatkan persamaan.
Isi yang disampaikan oleh para penceramah amat memikat hati penghuni taman syurga. Isu-isu terkini menghiasi minda, ilmu-ilmu yang diberi mudah menembusi dada, harap agar semuanya kekal bersama ku selama-lamanya. Alhamdulillah, syukur pada-Mu ya Allah.

Tepat jam 12.30 pagi, aku menuju pulang ke gerbang pintu taman budi dan ilmu. Semasa perjalanan, aku mengimbas kembali rentetan peristiwa yang berlaku pada ku hari ini. Sungguh, Maha Besar Ya Allah. Terlalu banyak nikmat yang aku terlepas pandang. Katil sudah tersedia, selimut makin kuat bertanya, bersalah pula melihat bantal yang sudah menyapa. Niat untuk berpuasa pada esok harinya ditetapkan sebelum menuju ke alam kedua. Berbekalkan doa sebelum tidur, harap agar aku masih diberi peluang untuk sedar dan beribadah pada keesokan harinya.

No comments: