NAJWAN | Diari Lelaki: Jodoh Itu Pasti Ada

Tuesday, October 22, 2013

Jodoh Itu Pasti Ada



{ Menyatukan Jodoh A & B } - Tragedi Semalam 20/10/13 -

Setelah selesai majlis di Empire Shopping Gallery, kira-kira jam 6 petang semalam, terus ku menuju ke tapak di mana aku meletak motosikal ku yang merah. Hari mendung kelabu, hujan seperti mahu melangsaikan hutangnya pada tanam-tanaman dimuka bumi. Bukan itu yang ku risaukan, hujan itu rezeki. Yang aku risaukan tangki minyak motor ku yang hanya tinggal beberapa mililiter sahaja. Akibat daripada tabiat untuk menguji sehebat mana motor ku boleh 'jalan' setelah jarum merah melepasi tahap 'Empty'. 



Aku terus menghidupkan enjin dan berharap agar aku bertemu jodoh dengan stesen minyak yang menjadi kegilaan ramai. Perjalanan meredah highway aku mulakan. Persiapan mental dan fizikal menjadi bekalan. 


1km, 5km.. Alhamdulillah, akhirnya aku bersua juga dengan kekasih hati, Stesen minyak P. Apabila aku masuk ke simpang kiri, menghala ke stesen P tersebut, ku lihat stesen itu seperti rumah usang, tiada orang. Ya Allah, mana aku mahu isi minyak ini. Pada ketika inilah baru aku merasakan nikmat petrol walaupun naik harga 20sen (tetiba).


Perjalanan diteruskan, highway diterokai. Mata tidak fokus kepada jalanraya, tetapi signboard stesen minyak. Baru ku tahu risiko yang ku hadapi untuk menguji sesuatu demi kepuasan diri. 'All iz well', kata ku dalam hati (tetiba). 


5km, 15km... Motor masih bernyawa, masih boleh membawa tuannya mencari insan tercinta. Terlalu banyak dugaan disepanjang perjalanan ku, simpang ke sana ke sini. Risau ingin memilih, di mana ingin ku tuju. 'Kalau ikut simpang ini, ada stesen minyak atau tidak, kalau yang ini, kalau....'... Bermacam-macam kalau yang bermain di minda. Tetapi, aku tetap berpegang kepada intuisi ku, di mana mengikut kata hati yang dianugerahkan Allah kepada manusia.


Simpang demi simpang ku abaikan. Hingga ada satu simpang yang akhirnya aku memberanikan diri mengambil risiko untuk memilihnya menjadi pilihan hati ku. 'Jika tiada juga, aku tarik jela motor ini, motor je pun.' Aku cuba menenangkan kerisauan ku. Jarak yang masih jauh untuk aku sampai ke destinasi bumi ilmu dan budi menyebabkan aku semakin risau. Ditambah pula lokasi tempat yang baru ini aku terjahi.


Aku teruskan perjalanan. Waktu itu, aku sudah tiada apa untuk diusahakan, tempat yang asing, tidak pernah ku lawati. Simpang yang aneh, tidak pernah ku terokai. Hanya panduan minda menyuluh jalan mencari stesen minyak yang dicintai.


19km,.. aku pasrah, rela, redha dan apa yang akan berlaku. Biarlah aku bujang, tanpa ditemani stesen minyak asalkan aku masih hidup dibumi asing ini. Selesai pusing bulatan ditengah bandar yang tidak ku ketahui namanya, tertulis disebalik dedaun rendang, 'Caltex'. Alhamdulillah. Tiada ucapan yang terbaik untuk ku lafazkan ketika itu. Barakallahu fik (tetiba).


Akhirnya dipertemukan juga jodoh dengan Si Caltex. Aku tidak memilih dengan siapa aku ingin bertemu sama ada Shell, Petronas dan lain-lain (kecuali BHP dan Petron..haha..), asalkan matlamat untuk menyatukan hubungan antara enjin dan minyak itu tercapai. 


RM6 dibayar, enjin seronok apabila bertemu teman baru. Perjalanan diteruskan. Alangkah besar kuasa minda. Hanya kepada siapa yang mempercayainya, pasti akan tahu keajaiban nikmat Tuhan.. 


P/S : Haha.. Bercerita pula tiba-tiba.. Suka nak share kuasa minda kita ini. Dalam bisnes pun, minda yang sama juga banyak membantu kita... Jangan risau mengambil risiko untuk menambah pengalaman. :)

No comments: