NAJWAN | Diari Lelaki: Aku Ingin Melakukan Dosa

Sunday, November 2, 2014

Aku Ingin Melakukan Dosa



Dalam hati kecil ku, meronta-meronta ia untuk bersuka ria di 'night club'. Siapakan tidak mahu untuk berseronok. Bersama jantina yang berbeza pula tu. Pasti puas! Tetapi... ku lihat almari baju, tiada pula baju yang sesuai. Jeans tiada, baju yang berlogo universiti itu ada lah. Tak kan aku mahu pakai baju berlogo itu pula. Malulah nanti.


Terkadang, ingin juga aku lepak serta ber'dua-duaan' dengan perempuan. Di tempat sunyi, di taman-taman, di 'shopping mall'. Pasti seronok berdua. Tetapi... bila ku dipertemukan dengan perempuan, aku rasa takut. Risau. Tiada apa yang mampu menjelaskan perasaan aku tika itu. Aku pelik.

Iya. Aku ini jahil orangnya. Tiada asas agama yang kukuh. Cukup sekadar belajar pendidikan islam di sekolah menengah sahaja. Malah, rutin harian ku cukup jelas untuk menggambarkan aku ini orang yang bagaimana. Dosa akan ku baja. Pahala pula kan ku sita. Masih lagi aku terfikir-fikir. Mengapa tidak aku berani melakukan perkara-perkara tersebut?

5 Tahun Lalu

Seperti biasa, rutin ku ketika masih di peringkat sekolah menengah ialah bersiar-siar sambil menunggang motosikal. Kelajuan 50 km/j itu sudah cukup untuk aku menikmati suasana petang di kampung. Di tepian sungai, di tepian tebing, pasti ada remaja kampung yang berdua-duaan. Aku cemburu dengan mereka. Begitu awal mereka di'jodoh'kan. Padahal, aku masih keseorangan. Oh ya, mungkin aku berdua. Berdua bersama motosikal merah ku.

Tahun sebelumnya, aku cuba untuk mengenal apa itu erti berpasang-pasangan. Benarkah seronok? Tidak perlu aku bercerita panjang lebar mengenainya. Aku pasti saudara yang membaca faham bagaimana perasaan ketika itu. Cukuplah aku menggambarkan tahun tersebut dengan frasa 'Indah diawalnya, dan gundah pengakhirannya'. Aku yakin kalian faham.

3 Tahun Lalu

Tamat sesi graduasi ku sebagai pelajar sekolah. Tiada lagi bebelan guru, tiada lagi kejar mengejar bersama warden asrama. Kini, aku dengan diri aku. Noktah.

Semalam

Aku ditakdirkan untuk berada di dalam satu sesi pertemuan. Tidak formal mana, cuma lepak bersama kawan-kawan lama. Tajuk yang dibincangkan pun sekadar suka-suka sahaja. Seperti biasa, aku kaku dan bisu, pasif dalam perbincangan yang tidak menarik minat ku.

Satu pancaran idea menyentak minda ku seiring ketika tangan ku menaip-naip untuk menulis status di FB. Aku rasa aku tahu jawapan kepada persoalan ku di atas. Ku ambil masa untuk imbas kembali dan teliti apakah idea itu munasabah atau sekadar idea pemusnah.

Aku teliti bagaimana cara hidup ku yang lepas, perkara apa yang aku lakukan dahulu. Aku yakin. Pasti ini jawapannya.

Apakah ia? Mudah sahaja...

"Jika ada kebaikan yang kita lakukan, walau sekecil zarah sekalipun, pasti Allah akan menggantikan ia dengan kebaikan yang berganda."

Adakala kita mahu lakukan perkara buruk, Allah memberhentikan kita dengan pelbagai cara. Allah tidak turun ke hadapan kita untuk beritahu apa yang perlu kita buat. Cukup untuk Dia melemparkan rasa 'takut' di dalam hati. Cukup untuk Dia mengatur apa yang sesuai dengan kita. Dia itu lebih mengetahui.

Jadi usah runsing wahai teman. Jauh mana pun kau daripada landasan agama, aku pasti kebaikan yang pernah kau lakukan dulu, tidak kira apa pun yang kau lakukan, ia akan datang menyelamatkan mu suatu hari nanti. Aku pasti!

Al-Zalzalah : 7 = "Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya)"

No comments: