NAJWAN | Diari Lelaki: Menjaga Hati

Wednesday, May 29, 2013

Menjaga Hati



Jauh ku merenung, memerhati alam ciptaan Allah disebalik ruang tingkap hostel ku. Kicauan burung sering menghentikan lamunan separa sedar. Hmm.. Keluh ku sendirian. 'Sukar sekali mahu menjaga hati ini.'

Kini aku semakin mudah menerima manusia disekeliling ku seadanya. Mengapa mesti kita pilih kasih? Bukankah hanya taqwa yang membezakan antara manusia dan manusia yang lain? Lagi pula, kita hidup kerana ingin mendapatkan rahmat Allah, dan sama sekali bukan untuk mendapat perhatian serta populariti
umumi. Biarlah ku dikenali oleh penduduk langit seperti Uwais Al-Qorni, daripada membangga diri di bumi seperti Qarun yang akhirnya ditelan bumi. Cukup indah sejarah para ilmuwan serta tabi'e terdahulu. Tidak dapat tiru serupa 100% pun, sikit pun jadilah. Aku senyum bersendirian.

''Assalamualaikum mak, sihat?''

''Sihat alhamdulillah, adik belajar macam mana? Duit ada tak?''

"InsyaAllah ok mak. Mak tolong doakan ya supaya urusan belajar adik dipermudahkan. Duit ada lagi mak.''

"Mak tak pernah tinggal & selalu doakan anak mak, tinggal adik saja yang kena berusaha.''

"Haha, terima kasih mak. Kirim salam kat abah ya.''

"InsyaAllah, adik belajar elok-elok. Jangan fikir benda lain."

"Ok mak. Terima kasih, assalamualaikum.''

"Wa'alaikumussalam.''

Perbualan yang lebih kurang sama jika aku menelefon ibu. Tiap kali panggilan dijawab, perkara yang sama juga ibu soalkan. Cukuplah pengorbanan mu wahai ibu ketika masa kecil ku. Bukan aku tidak mahu menerima bantuan kewangan daripada mu, tetapi aku malu kerana tidak pernah berbakti pada mu. Sekurang-kurangnya, berilah aku peluang untuk kurangkan beban ibu pada waktu ini.
Seperti biasa, suara ibu mampu melenyapkan sebahagian daripada permasalahan kecil yang dialami oleh pelajar mentah seperti aku. Teringat akan pesan ibu, 'jangan fikir benda lain, belajar elok-elok'. Sukar untuk ku fokuskan perhatian ke arah pembelajaran setelah berhijrah ke institusi ilmu ini. Pelbagai ujian yang Allah turunkan pada ku. Walaupun begitu, bukanlah ku bermaksud untuk mengeluh atas segala ujian tersebut, tetapi aku rasa bersalah terhadap pesanan ibu ku. Walaubagaimanapun, InsyaAllah mereka akan faham dan smememangnya mereka faham kerana aku lahir bawah didikan mereka.

Minggu peperiksaan hampir tiba, tetapi persediaan untuk berjuang menghunus segala senjata ketika berada di medan perang, amatlah kurang. Mungkin kerana aku jauh dengan Dia. Hari demi hari, dua kertas sudah aku tempuhi. Kedua-duanya aku terima dengan mengucapkan kalimah syukur walaupun perit terasa. Walaupun begitu, usah takut dengan ujian dunia. Jika kamu berusaha, pasti kamu kan peroleh. Aku memotivasi diri sendiri. Teringat kata-kata pensyarah ku,

 'Life is not fair. So what? Murmuring? There's nothing you can do. Get used to it.'

Ada benarnya kata-kata beliau jika dilihat semula keadaan yang berlaku disekitar hidup aku. Walaubagaimanapun, Dia lah Yang Maha Adil. Sesungguhnya, orang mu'min itu beriman dengan Hari Akhirat, bukan dengan hari-hari di dunia. Allah...

Pesan guru, jika kita suka pada seseorang, tanya terus pada si dia. Jika jawapan yang diberi, dia bukan untuk mu, maka percayalah pada Allah atas ketentuanNya. Elakkan daripada hal itu memudaratkan perasaan mu. Doa kepada Allah, jika benar dia untuk mu, pasti dia Allah temukan. Percaya Qada' dan Qadar Allah. Pasti, ada yang sedang menunggu ku. Jika bukan di dunia, insyaAllah di akhirat kelak. Ya Allah, ampuni dosa hambaMu ini, dan masukkanlah aku dalam kalangan orang yang beriman serta bersabar dalam menyeru manusia ke arah kebaikan.
Jam menandakan malam sudah larut, kini masa untuk berpaut pada tilam, bantal dan selimut. InsyaAllah, jika ada usaha untuk berubah, Allah akan tolong. Berdoalah dengan sangkaan bahawa Allah pasti akan menunaikan hajat serta doa kita tersebut. Sering ku mengingatkan diri ku. Jika bukan sekarang Allah tunaikan, jangan putus asa, teruskan melangkah. Nikmat itu pastikan turun, cuma bukan tiba masanya lagi. Allah sudah sediakan perancangan Dia Yang Maha Agung untuk kita. Percaya pada Allah, kerana hanya Dia yang mampu menolong kita. Amin Ya Allah.

Allahumma solli 'ala saidina Muhammad, wa 'ala Alihi, wasohbihi wasallim

No comments: