NAJWAN | Diari Lelaki: Memilih calon isteri

Saturday, October 15, 2011

Memilih calon isteri


Perkara pertama yang harus diperhatikan bila memilih jodoh (yang berkaitan dengan persoalan wanita) demi untuk mencapai kehidupan yang tenteram supaya ikatan perkahwinan menjadi kekal serta tujuan-tujuan yang baik dari perkahwinan itu ialah memilih isteri solehah.
Hendaklah isteri itu seorang yang soleh dan berpegang teguh kepada agama. Inilah tujuan utama perkahwinan yang harus diambil berat. Sebab sekiranya isteri itu lemah agamanya,
bagaimana dapat ia memelihara diri dan maruahnya. Kalaulah berlaku sesuatu kecemaran yang menyentuh kehormatan dirinya, tentulah muka suami akan terconteng arang, sedang hatinya akan tergoda oleh perasaan cemburu, manakala kehidupannya ketika itu akan menjadi sempit.
Kemudian jika si suami mengikutkan kata hati yang penuh dengan cemburu itu,



tentulah akan porak-peranda seluruh kehidupannya, dan jika dia mengambil sikap mempermudahkan tentang perkara yang berlaku, tentulah dia akan dituduh mengambil sikap enteng saja tentang agama dan maruahnya, dan akan dituduh sebagai suami yang dayus. Walhasil si suami akan berada dalam keadaan yang serba-salah sekali.

Demikian pula sifat wanita yang rosak agamanya akan sering mempermain-mainkan harta benda suaminya atau sebagainya, sehingga hidup si suami dengannya akan sentiasa kurang tenteram. Jika suami terus mendiamkan diri dan tidak melarang kelakuannya, nescaya ia menjadi kongsi dalam maksiat dengan isterinya dan bererti menentang firman Allah Ta’ala.
“Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari api neraka.” (at-Tahrim: 6)
Jika si suami menegah si isteri dan melarang kemahuannya akan timbul pula pertengkaran sehingga boleh memendekkan umur si suami. Sebab itulah Rasulullah s.a.w sangat-sangat menggalakkan dan meransang supaya memilih wanita yang kukuh agamanya. Baginda bersabda:
“Wanita itu dikahwini kerana hartanya atau kecantikannya, keturunannya atau agamanya, maka hendaklah anda memilih yang mempunyai agama yang kukuh, nescaya anda akan bernasib baik.”

No comments: