NAJWAN | Diari Lelaki: Permata Dikala Kesusahan

Saturday, March 29, 2014

Permata Dikala Kesusahan


Assalamualaikum teman-teman. Apakah masih kau sangka aku lupa padamu? :)

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana limpah kurniaNya, masih mampu untuk aku bernafas pada pagi yang hening, menikmati alam ciptaanNya. Agung sungguh kebesaranMu ya Allah. Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW (selawat sama-sama), pengorbananmu telah melahirkan ramai anak muda yang memperjuangkan hak-hak manusia seantero dunia. Islam insyaAllah kini bangkit menentang kezaliman.


Lama sungguh aku meninggalkan 'diari' elektronik ini. Ku jangkakan, hampir 2 bulan entri blog ini kosong, tanpa ada secebis perkataan yang dikongsi. Dan hampir 2 bulan itu jugalah, diri ini bertarung dahsyat dengan perangai lama. Allah. Tanpa Mu, tiadalah aku sedar akan nikmat agamaMu.

Tidak banyak perkara yang ingin aku kongsikan pagi ini. Sekadar coretan ringkas buat teman teman pembaca agar aku merasa dekat dengan kalian. Adakah kalian sering dilanda masalah? Ataupun, sentiasa tidak punya cukup masa untuk lakukan sesuatu? Jika ya, bukalah hati kalian semua, akan ku bantu sedaya upaya untuk menerangkan beberapa tip atau poin penting dalam penjagaan masa sebagai seorang muslim. Bagi yang tiada masalah dalam hidup mereka, kalian boleh terus ke entri lain. Mungkin entri ini sudah kalian hadam dengan perkara penting yang ingin ku sampaikan. Walaupun begitu, tidak salah jika aku menjadi orang tengah untuk mengingatinya kembali :)

Yang pertama, Bacalah Al Quran sebanyak mana yang kita mampu. Percaya atau tidak, dengan membaca Al Quran, masa kita akan jadi semakin terurus. Sebelum itu, adakah kita percaya bahawa Allah itu penjaga masa yang terbaik? Aku yakin dan percaya kita semua cukup percaya dengan perkara tersebut. Jadi, mengapa masih kita ragu, dengan membaca kalamNya, masa kita akan menjadi semakin fleksibel. Yakin dan percayalah. Tiadalah diutus Nabi Muhammad SAW melainkan untuk menyampaikan risalah agung, iaitu Al Quran, sumber hukum utama dalam Islam.

Yang kedua, Infaqkan Harta kita ke jalanNya. Jika kita sebut infaq, bukan sahaja kita wakafkan sesuatu berupa material, bahkan, dengan senyuman yang menandakan kita reda akan seseorang juga boleh dikatakan sedekah. Apakah mahu kita balasan berupa syurga? Apakah kita mahu segala amal kebajikan ini menjadi peneman tika di dalam kegelapan pusara nanti? Kita pasti akan mati. Maka, bersiap siagalah mengumpul amalan mulia sebanyak yang mungkin. Usah risau untuk memberi harta pada jalan Allah. Hiasilah tabung-tabung kebajikan dengan wang-wang kita. Makin kita memberi, makin kita diberi Allah rezeki. Bagaimana ini berlaku? Hanya dengan beriman dan percaya akan janji Allah, insyaAllah kita akan dikurnia nikmat yang datang daripada sudut yang tidak kita sangka-sangka.

Yang ketiga, Jaga Silaturrahim antara saudara seagama. Tiadalah perkara yang penting, yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW melainkan menjaga hubungan antara manusia. Jangan berpecah belah. Jom berada dalam satu jemaah. Ingatkah kalian mengenai hadis sohih yang menceritakan perihal mazhab, atau kumpulan jemaah yang akan masuk syurga? Hanya akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaaah sahaja yang akan masuk syurga berbanding mazhab yang lain. Apa kaitannya dengan silaturrahim? Kaitannya cukup mudah. Beradalah dalam satu jemaah islam, usah mewujudkan jemaah yang baru. Jika sudah ada yang lama, apa kata kita perbaharuinya.

Sebagai analogi mudah, cuba kalian bayangkan sebuah rumah yang lama, yang sudah banyak menfaatnya kepada satu generasi. Adakah senang-senang sahaja kita tinggalkan jika rumah tersebut tidak sempurna dek lubang-lubang kelemahan? Mantapkanlah silaturrahim kita. Usah tinggalkannya. Teruskan berbakti. Perbaharuilah rumah itu. Bukanlah jalan yang terbaik jika kita berpindah ke rumah yang baru. Manakan kita tahu rumah baru itu lebih baik daripada yang lama? Aku percaya bahawa rumah yang baru juga bakal menghadapi masalah yang sama seperti rumah lama. Lebih elok jika kita menutup kelemahan rumah lama dengan sesuatu yang positif dan inovatif. Pasti rumah lama akan kelihatan baru. Berbanding rumah baru yang hanya sekadar baru, tetapi nanti bakal menerima gelaran 'lama' apabila sudah lama berada di persada bumi.

Harapnya kalian faham apa yang ingin ku sampaikan. Jika berat untuk difahami, aku dengan rendah hati meminta maaf pada kalian. Bantulah aku dengan teguran membina, tolonglah aku dengan kritikan beserta jawapan. Aku doakan agar ketiga-tiga poin yang ku kongsikan, akan sentiasa kita lakukan bersama, demi mengejar reda Ilahi InsyaAllah.

Akhir kata, positifkan diri menerima segala ujian. Tiadalah ujian itu datang untuk menguji hamba, sehebat mana ketaqwaan dan kebergantungan mereka kepada Allah, Yang Maha Besar.

Ayuh berselawat dan beristighfar ;)

No comments: