NAJWAN | Diari Lelaki: 7 Tip & Cara Untuk Anda Menjadi Penulis 'Content' Facebook Yang Baik!

Sunday, August 30, 2015

7 Tip & Cara Untuk Anda Menjadi Penulis 'Content' Facebook Yang Baik!


Menulis merupakan skil yang sering dipandang rendah oleh ramai orang. Walaupun begitu, saya amat memandang tinggi kepada mereka yang bijak menulis dan menggunakan skil tersebut ketika mereka mencipta content di Facebook.

Percaya atau tidak, masih ramai orang di luar sana yang tidak pandai menulis walaupun ianya sepucuk surat! Alangkah bagusnya jika mereka suka bertanya, "Bagaimana saya nak jadi penulis yang baik?", berbanding cepat putus asa dan terus membelenggu diri dengan mensia-siakan potensi diri yang ada.

Menulis ini pada pandangan saya adalah satu skil yang sangat penting bagi setiap komunikasi dalam bisnes. Komunikasi secara lisan kerap disalahertikan akibat tafsiran manusia yang berbeza-beza. Jika anda menerangkan sesuatu melalui penulisan yang jelas, semua perkara yang anda ingin sampaikan akan dilihat dalam bentuk hitam putih, tanpa ada tafsiran lain melainkan apa yang tulisan anda ingin sampaikan.

Oleh itu, kepada anda yang mahu belajar, ataupun melatih diri untuk menulis dengan konsisten, saya ingin kongsikan 9 Tip & Bagaimana Untuk Anda Menjadi Penulis Yang Baik agar content Facebook anda semakin meletup kebabom!

9 Tip & Bagaimana Untuk Anda Menjadi Penulis Yang Baik

1. Tambahkan Bahan Bacaan

Menulis dan membaca ini mesti bergerak seiring dan tidak boleh dipisahkan seperti Upin & Ipin. "Faham, faham, faham?"

Semakin anda banyak membaca genre buku yang bervariasi, semakin anda akan biasa dengan intonasi bercerita, serta intonasi menerangkan isi-isi dalam penulisan anda. Antara contoh bahan bacaan yang bagus untuk anda tingkatkan skil bercerita adalah seperti novel-novel bersiri, buku motivasi, serta travelog. Hayati gaya penceritaan yang ada dalam buku tersebut.

Jika anda lebih cenderung untuk menulis berkenaan tip-tip ringkas, anda boleh rujuk kepada bahan bacaan yang berbentuk artikel. Jangan risau, ada banyak sangat artikel-artikel yang bagus bertebaran di internet. Contohnya seperti laman web ini (Sifufbads.com), writetowealth.com (Tuan Aqif Azizan), entrepreneur.com (laman web bahasa Inggeris), dan sebagainya.

Gabungan antara membaca dan menulis ini memang terbukti berkesan. Ianya akan mempengaruhi cara anda menulis dan seterusnya menambahbaik corak dan gaya penulisan anda.

2. Menulis 1 Jam Sekali

Sekejap, poin ke-2 ini bukanlah bermaksud anda mesti menulis 24 kali dalam sehari. Apa yang penting adalah, anda perlu KERAP MENULIS.

Practice, practice, and practice!

Anda tidak boleh terus menjadi penunggang motor yang hebat melainkan anda kena selalu berlatih di litar lumba motorsikal. Sama juga seperti menulis. Anda perlu kerap menulis. Cari sahaja apa-apa perkara yang anda minat. Contohnya tip nak jadi pelajar terbaik ke, atau tip main congkak, tip cantikkan bulu kucing, dan sebagainya. Asalkan anda mula menulis.

Untuk permulaan, anda boleh cuba buat 1 muka surat dahulu menggunakan Microsoft Word, dan kemudian boleh tambahbaik ke muka surat yang ke-2 dan seterusnya.

3. Ringkas Dan Padat

Apa anda rasa jika JK Rowling menulis novel "Harry Potter" sama seperti peguam-peguam yang menyediakan draf peruntukan kontrak untuk syarikat-syarikat besar? Sudah pasti K Rowling tidak akan jadi terkenal seperti sekarang, dan anda juga mungkin akan tidak kenal langsung siapa Hermione dan Draco Malfoy.

Seeloknya, anda jadikan poin penulisan anda seringkas dan sejelas yang mungkin. Bagi penerangan dan contoh itu bagus, tapi jangan terlalu meleret. Jika isi yang disampaikan itu ringan, tidak perlu penjelasan yang berlebihan.

Menulislah seperti kita yang menjadi pembacanya.

4. Terbuka Untuk Kritikan

Percaya atau tidak, tak semua orang suka makan di KFC dan Pizza Hut. Mengapa? Sebab masing-masing ada citarasa tersendiri.

Jadi, anda jangan terlalu defensif dan tertutup dengan segala komentar dan kritikan yang diberi. Segala maklum balas yang ditujukan kepada hasil penulisan anda itu mempunyai pengajaran yang berharga.

Percayalah, tiada orang yang beri komentar untuk menjatuhkan anda (kecuali orang yang memang hidup dalam dunia negatif). Setiap orang ingin bantu-membantu antara satu sama lain. Ambillah segala kritikan itu dengan hati yang terbuka dan tingkatkan usaha untuk jadi lebih baik.

5. Jadi Penglipur Lara

Masukkan sedikit unsur humor, dan jenaka dalam tulisan. Gayakan penulisan anda seperti sebuah cerita supaya pembaca suka baca bait-bait tulisan anda. Ingat! Manusia ini sangat suka baca cerita.

Tahukah anda yang ramai orang suka baca novel karangan JK Rowling disebabkan teknik penulisan beliau yang unik dan mesra pembaca. Apabila pembaca baca kisah dan jalan cerita yang beliau sampaikan, pembaca boleh rasa seperti mereka pula yang beraksi bersama-sama watak di dalam novel tersebut.

Mereka lah yang menunggang kuda terbang tinggi, mereka lah yang berperang menggunakan tongkat sakti, mereka juga lah yang mengkhianati pasukan mereka sendiri.

Seronok bukan jika kita dapat selami diri dalam tulisan orang lain?

Jadikan tulisan anda seperti buku cerita.
Jadikan tulisan anda seperti novel.
Jadikan tulisan anda seperti berdialog dengan pembaca!

6. Tulen, Asli, Original

Menulis ini adalah skil yang unik. Anda boleh gambarkan profil anda dengan hanya menulis mengikut rentak sendiri. Orang lain pun boleh kenal pasti yang anda penulis sesuatu artikel tersebut apabila anda ada gaya penulisan tersendiri.

Jadi, jangan takut untuk menulis ikut style sendiri. Elakkan meniru style orang lain. Anda sudah pasti tidak mahu buatkan pembaca rasa yang tulisan anda itu palsu, dan diciplak daripada tulisan individu yang anda tiru stylenya.

Walaubagaimanapun, style ini tidak akan datang dengan mudah. Anda perlu sentiasa menulis dan kenal pasti jenis penulisan yang anda selesa. Mungkin anda cenderung kepada penulisan berbentuk formal, mungkin dalam bentuk otai, garang, manja, dan sebagainya.

Jadi, kerapkan latih diri untuk cuba menulis dalam pelbagai jenis penulisan.

TIDAK RUGI MENCUBA.

7. Percaya Kepada Diri Anda

Ini adalah jawapan yang paling saya suka beri kepada sesiapa yang tanya soalan, "Bagaimana saya boleh jadi penulis yang baik?"

Anda tidak akan berupaya untuk lakukan apa-apa melainkan anda percaya pada diri anda. Nak makan pun perlukan rasa percaya yang anda boleh makan makanan tersebut.

Ya, mungkin betul bahawa rasa takut dan rendah diri dengan penulisan yang kita hasilkan itu tidak dapat dielakkan.

TETAPI...

Anda boleh mengubahnya dengan buat tak tahu sahaja apa respon umum terhadap penulisan anda. Jangan sesekali terikut dengan emosi negatif yang membawa keburukan kepada diri sendiri. Jika anda tidak tekan butang publish artikel anda, siapa lagi yang akan tekankan untuk anda? Ibu anda? Adik anda? Sudah pasti tidak.

Anda yang mengubah nasib diri anda sendiri. Ingat! Setiap manusia di luar sana sibuk menguruskan hal masing-masing. Mereka tiada masa untuk fikir buruk tentang tulisan anda.

Jadi jangan biarkan tanggapan negatif anda itu mensia-siakan bakat yang terpendam dalam diri. Entah-entah, jika anda tiada tanggapan begitu sekarang, 10 tahun lagi anda mampu menjadi penulis yang hebat.

Bertindak Sekarang!

Anda boleh jadi penulis yang hebat jika anda mahukannya. Anda boleh jadi copywriter yang berpengaruh jika anda mahukannya. Anda boleh membuatkan pembaca beli produk dengan iklan anda jika anda mahukannya.

Walaubagaimanapun, semua di atas ini tidak akan diperoleh tanpa usaha dan ilmu yang cukup. Dan, ia juga tidak akan diperoleh jika anda tidak MULA SEKARANG.

No comments: